'Saya hanya mahu habiskan masa dengan suami dan anak' - Isteri Da'i Syed

Gempak
September 24, 2024 12:42 MYT
Syed Shah Iqmal (jaket biru) dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu. - Foto Astro GEMPAK
PERSONALITI TV, Hana Ismail memanjatkan rasa syukur apabila suaminya, iaitu Da'i Syed mendapat penangguhan hukuman penjara sementara selepas 21 hari meringkuk dalam penjara Kajang.
Bagi Hana, dia hanya mahu menggunakan masa yang ada untuk bersama suami dan anak perempuan mereka Sharifah Fatma Nour Jamalullail sebaik-baiknya.
"Alhamdulillah syukur, sebenarnya manusia ini diberi pinjaman masa.
"Jadi saya nak habiskan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak selagi boleh. Saya lega," katanya kepada Gempak.
Hana ditemui ketika menemani Da'i Syed menghadiri prosedur sebutan semula pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Pada masa yang sama, Hana juga berkongsi dia dapat menghadapi ujian ini dengan baik dan mendapat sokongan daripada segelintir pihak.
"Alhamdulillah, Allah maha baik, sebenarnya tak semua orang begitu (mengecam).
"Ramai juga orang di luar sana yang baik-baik dan prihatin dengan kami. Mungkin pada mereka kami tidak layak. Tetapi sebab ihsan kami tinggi dan berkelakuan baik dapat juga (sokongan),” tambahnya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan 5 November 2024 sebagai sebutan semula pengurusan kes Da'i Syed.
Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Namun selepas 21 hari dipenjara, Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan untuk membenarkan permohonan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da'i Syed untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, hingga rayuan didengar dan diputuskan pada Jumaat.
- Artikel asal ini diterbitkan di portal Gempak
#Hana Ismail #Da'i Syed dilepas sementara #dituduh merogol seorang gadis #prosedur semula pengurusan kes
;