"Saya hanya ingat mati" - Pendaki Misi Everest UTM

Tan Su Lin
Mei 7, 2015 11:52 MYT
Kumpulan pendaki Malaysia terselamat dalam gempa yang meragut ribuan nyawa di negara itu. - Foto Fail
"Saya hanya ingat mati ketika itu" demikian luahan seorang pendaki Malaysia apabila berdepan situasi mencemaskan ketika gempa bumi berlaku di Nepal menyebabkan runtuhan salji di Kem Pangkalan Gunung Everest (Everest Base Camp).
Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Farul Aidib Mohamad Yusoff, menceritakan pengalaman bagaimana kumpulannya terselamat dalam gempa yang meragut ribuan nyawa di negara itu.
Menurut Farul, 21 tahun, kumpulan pendaki yang terdiri daripada 5 pelajar UTM itu cukup bernasib baik apabila berjaya melarikan diri ketika kejadian itu berlaku.
Mereka terselamat hanya dalam jarak kurang 100 meter sahaja daripada runtuhan salji berkenaan.
"Masa kejadian itu, kami semua sedang menunggu makan tengah hari. Apabila bergegar kami semua keluar untuk melihat apa yang terjadi. Ketika itu saya nampak satu gerombolan ais datang ke arah kami. Jadi kami semua jadi kelam kabut terus berlari untuk menyelamatkan diri."
"Ketika itu, saya hanya fikir mati sahaja. Memang fikir mati sebab nampak ais datang sekali dengan batu-batu semua," kata Farul apabila ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dengan menaiki pesawat Air Asia dari Kathmandu pada malam Rabu.
Akibat gempa kuat itu, kesemua khemah pendaki termasuk milik pasukan Malaysia di kem pangkalan Everest ditimbus salji.
Bagi Jurulatih dan Ketua Pendaki, Azim Afif Ishak, mereka berdepan saat mencemaskan melihat sendiri impak daripada runtuhan salji itu.
Pemandangan gunung yang dahulu indah kini terpahat dengan memori mayat bergelimpangan.
"Detik paling mencemaskan apabila gempa bumi pertama 7.9 skala Richter yang mana kami sempat lari untuk 2 minit. Apabila kami keluar kami mendapati seluruh kawasan base camp sudah rata dan selepas 10 minit kami nampak 'sherpa' lari keluar membawa tong oksigen dan kita nampak sudah ramai malah berbelas orang yang mati."
"Dalam kami nak berlari, cemas sebab tidak ada tempat berlindung, khemah habis koyak patah dan sebagainya, orang terbang. Itulah saat paling mencemaskan," kata Azim.
Namun menurut Penolong Jurulatih Misi, Anis Zulaikha, hasil tindakan cepat sherpa atau pemandu pendaki, mereka berjaya mengelak daripada tertimbus salji.
"Kami berada dalam khemah makan sedang menunggu makan tengah hari. Ketika itu berbual dengan sherpa, tiba-tiba rasa gegaran. Ingatkan gegar sebab angin. Sekali sherpa keluar untuk lihat apa berlaku, tengok ada runtuhan salji berlaku."
"Dia suruh cari tempat berlindung sebab selepas runtuhan salji ada ribut salji tempias daripada runtuhan berkenaan. Jadi memang cemas lah kami semua ketika itu. Kami hanya boleh beristighfar," kata Anis.
Susulan kejadian gempa bumi, mereka terpaksa menangguhkan misi pendakian dan dibawa turun dari everest base camp menggunakan helikopter.
Misi disertai 5 orang pendaki iaitu tiga orang mahasiswa UTM dan dua lagi merupakan bekas pelajar. Ini merupakan kali kedua kumpulan itu ke Gunung Everest selepas pendakian pertama tahun lepas yang turut mengalami tragedi runtuhan salji teruk.
Namun kejadian gempa itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan pendakian di gunung berkenaan.
"Kami masih positif untuk naik lagi untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia," kata Azim.
#Everest #Farul Aidib Mohamad Yusoff #gempa bumi #Nepal #pendaki
;