'Saya hanya dimaklumkan tidak wakili ibu bapa Zayn Rayyan dua hari lalu' - Fahmi

Sinar Harian
Disember 6, 2024 18:04 MYT
Zaim Ikhwan Zahari (kiri) dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf (dua, kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PETALING JAYA: Peguam terdahulu yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu hanya dimaklumkan tidak lagi mewakili pasangan itu, menerusi kiriman WhatsApp, dua hari sebelum prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Ketika dihubungi, Fahmi Abd Moin berkata, pihaknya turut menerima surat makluman penamatkan khidmat sebagai peguam untuk Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 29, pada hari yang sama.
“Penamatan itu berkuat kuasa serta-merta, namun saya tidak mengetahui alasan mereka bertindak sedemikian.
“Bagaimanapun saya menghormati keputusan itu kerana mereka berhak memilih mana-mana peguam yang dikehendaki,” katanya bersama seorang lagi peguam, lyani Khuszairy.
Selepas prosiding sebutan kes untuk status representasi pasangan suami isteri berusia 29 tahun di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh, dua peguam iaitu Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris memaklumkan mereka merupakan peguam baharu bagi pihak Zaim dan Ismanira.
Ini bermakna, mereka akan mengendalikan prosiding perbicaraan kes yang dijadualkan berlangsung bermula 3 hingga 7, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac tahun depan.
Ketika mula direman sehingga pendakwaan dibuat, Ismanira diwakili peguam, Mahmud Jumaat sementara Fahmi hadir bagi pihak Zaim Ikhwan.
Bagaimanapun, pada 26 Julai lalu, Mahmud mengesahkan tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan dan tidak akan hadir ke mahkamah bagi prosiding hari pertama, sebutan semula kes.
Susulan itu, Fahmi yang dilantik secara rasmi sejak 4 Jun, akan mewakili kedua-dua tertuduh bagi prosiding seterusnya.
Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian
#Zayn Rayyan #tukar peguam #ibu bapa #Zaim Ikhwan Zahari
;