'Saya gentar tandatangan Akta 342' - Dr Adham

Eton Khir
November 3, 2021 20:11 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berucap pada Majlis Perkongsian Strategik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Bebanan berat memerangi pandemik COVID-19 tidak hanya kepada petugas kesihatan mahupun keselamatan namun ianya turut dirasai oleh pemimpin-pemimpin negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini mendedahkan saat paling gentar sepanjang memegang jawatan Menteri Kesihatan sebelum ini adalah ketika beliau harus mendatangani Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menerusi akta itu juga secara automatik rakyat negara ini tidak dapat bergerak bebas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Betapa gentarnya saya menandatangani Akta 342 untuk membuat ‘lockdown’ satu negara. Semua orang diperintah duduk di rumah bermula 18 Mac tahun lepas dan semua menteri juga duduk di rumah dalam tempoh dua minggu.
"Itu adalah saat paling gentar bagi saya kerana tidak pernah dalam sejarah seorang menteri menandatangani Akta 342 menyebabkan orang tidak bergerak, kerana pencegahan dan kawalan COVID-19," katanya pada Majlis Perkongsian Strategik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Rabu.
Katanya lagi, beliau dan Menteri Kesihatan menggunakan setiap patah dan ayat untuk tujuan pencegahan dan kawalan pandemik itu.
"Sehingga kita mengenakan lima peruntukan baharu dan lima pindaan termasuk nilai kompaun. Sebelum ini, kompaun dikenakan RM1,000 pun kita kena maki-hamun di Parlimen kerana mahal. Inilah saat begitu getir dan payah untuk diuruskan kerana ada dalam kalangan kita tidak menyukai perkara ini sedangkan ia Akta 342," katanya lagi.
Akta 342 berkenaan digunakan untuk menguatkuasakan semua perintah berkaitan COVID-19 sebelum Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pula dikuatkuasakan pada 11 Januari tahun ini.
#Dr Adham Baba #Akta 342 #Khairy Jamaluddin #COVID-19
;