"Saya dipelawa, bukan dipaksa" - Azhar Harun

Harits Asyraf Hasnan
Julai 13, 2020 18:14 MYT
Azhar memberi jaminan akan meneruskan usaha pembaharuan Parlimen yang dilaksanakan oleh Mohamad Ariff Md Yusof sebelum ini. - Foto BERNAMA
Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan bahawa beliau dipelawa untuk menjawat jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat oleh kerajaan dan bukan diarah atau dipaksa.
Menyifatkan tawaran berkenaan sebagai satu penghargaan kepada beliau dan keluarganya, Azhar berkata, pelawaan tersebut juga dibuat kepadanya oleh kerajaan sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
"Tidak... saya tidak dipaksa atau diarah. Saya dijemput oleh kerajaan untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ini jelas satu penghargaan kepada saya dan keluarga.
"Jemputan itu berlaku sebelum penamaan calon bagi PRK DUN Chini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen yang menyokong atau tidak dan semua yang terbabit dalam proses pelantikan ini," katanya dalam sidang media selepas penangguhan sidang dewan hari ini.
BACA: 'Gelap, bedak, gempita' - Azhar tidak menyesal jadi YDP Dewan Rakyat
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dalam masa sama memberi jaminan akan meneruskan usaha pembaharuan Parlimen yang dilaksanakan oleh bekas penyandang jawatan itu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Malah, beliau turut memberi komitmen untuk menambah baik inisiatif yang dimulakan Mohamad Ariff bagi memastikan usaha pembaharuan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Bekas Speaker adalah pensyarah saya dahulu dan rakan kongsi di firma guaman. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau atas semua jasanya sepanjang menjawat tugas sebagai Speaker Dewan Rakyat," katanya.

Ikuti sidang media Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu, Datuk Azhar Azizan Harun#NormalBaharu #DewanRakyat #HapusCOVID19 https://t.co/XUoKebKjMR

— Astro AWANI (@501Awani) July 13, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Azhar Azizan Harun #Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Speaker Dewan Rakyat #Yang Dipertua Dewan Rakyat
;