Saya digelar 'hantu iblis', tapi saya mahu BN terus hidup - Kit Siang
Harits Asyraf Hasnan
Jun 7, 2018 21:56 MYT
Jun 7, 2018 21:56 MYT
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu supaya pembangkang di negara ini terus kuat dalam melakukan semak dan imbang dalam sistem demokrasi di negara ini.
Jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, walaupun dia pernah didakwa dengan pelbagai tuduhan, namun harapannya kepada Barisan Nasional (BN) masih meninggi.
"Ada propaganda yang kata bahawa kita (DAP) orang jahat. Saya didakwa sebagai hantu, iblis dan lain-lain lagi.
"Saya rasa tak pernah buat tuduhan pemimpin UMNO sebagai anti-Cina atau anti kepada agama-agama lain, tetapi saya dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Itu silap.
"Macam sekarang saya tidak mahu MCA atau BN mati, saya harap mereka boleh bergiat supaya demokrasi boleh lahir.
"Demokrasi perlu semak dan imbang yang mana bukan sahaja kita perlu ada mekanisma dalam parti-parti yang memerintah, tapi kita perlukan satu pembangkang yang kuat dan sihat, ada media dan masyarakat sivil yang boleh bersuara," katanya dalam temu bual eksklusif '100 Hari Malaysia Baharu' di Astro AWANI di sini hari ini.
Jelas beliau, intipati yang penting untuk menjadi pembangkang yang kuat adalah untuk terus belajar daripada setiap kekalahan atau kelemahan yang dihadapi.
"Saya rasa kita semua bukan sahaja DAP, semua parti (Pakatan Harapan), semua pemimpin politik termasuk Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar, Mohamad Sabu kami semua belajar.
"Kita perlu lebih sensitif, waras dan sesuatu yang kita katakan proses pembelajaran yang mana ia lebih untuk Malaysia.
"Tapi saya kesal kerana nampaknya pemimpin-pemimpin parti yang kalah ini tidak mahu belajar," katanya.
Ikuti temu bual eksklusif Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron bersama Kit Siang dalam '100 Hari Malaysia Baharu' pada 9.30 malam esok, Jumaat.
#Barisan Nasional
#DAP
#Lim Kit Siang
#Mahathir Mohamad
#MCA
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#UMNO