Saya dengar suara sayu minta tolong - Saksi kemalangan maut

Bernama
Oktober 6, 2018 22:14 MYT
Lima rentung dalam sebuah kereta yang terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dengan beberapa buah kenderaan di KM255.3 Lebuhraya Utara-Selatan. -Bernama
"Saya dengar suara sayu seorang perempuan meminta tolong sebaik sahaja api sudah marak," kata seorang saksi kemalangan Nurul Amelia Amran, 24.
Lima rentung dalam sebuah kereta yang terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dengan beberapa buah kenderaan di KM255.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara selepas Terowong Menora di sini, hari ini.
Nurul Amelia berkata beliau yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Ipoh menyaksikan kemalangan itu kira-kira pukul 11.54 pagi.
"Dari jauh saya dah nampak lori itu menghimpit ke kanan jalan sebelum bunyi dentuman kuat, kemudian tidak sampai berapa minit api sudah marak.
Apabila saya berselisih dengan kemalangan itu, saya lihat kereta telah dihimpit lori dan api sudah marak," katanya ketika ditemui pemberita di bilik forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.
Pekerja swasta itu berkata beliau sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya sebelum berhenti sebentar untuk membantu mangsa.
"Saya dan pengguna jalan raya lain tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat dan bahang terlalu panas," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian kira-kira 11.47 pagi tadi, lima yang rentung adalah mangsa dalam sebuah kereta, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.
Media dimaklumkan pengecaman mayat akan dilakukan esok.
-- BERNAMA
#Ahmad Adnan Basri #bilik forensik #dentuman kuat #Hospital Kuala Kangsar #kemalangan #Kuala Kangsar #Lebuhraya Utara-Selatan #maut #Nurul Amelia Amran #treler
;