"Saya cuba untuk segera pulang dari luar negara" - Ahli Parlimen Hulu Langat jawab tanda tanya 'kehilangannya'
Astro Awani
Disember 20, 2021 19:53 MYT
Disember 20, 2021 19:53 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mempertahankan tindakan beliau berada di luar negara ketika kawasannya teruk dilanda banjir.
Hasanuddin menjelaskan, beliau sentiasa mengikuti perkembangan banjir yang sedang berlaku di kawasan Parlimennya dan berusaha untuk mendapatkan penerbangan pulang ke tanah air secepat mungkin.
“Saya telah mengarahkan petugas-petugas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga membantu mereka yang memerlukan bersama petugas Amanah Hulu Langat dan Pasukan Bulan Sabit Merah.
"Selaku Kolonel Terhormat APM, saya sentiasa berinteraksi dengan APM dan pihak berwajib bagi membantu mangsa banjir di Hulu Langat.
"Saya sedang berusaha mendapatkan penerbangan secepat mungkin untuk balik ke tanah air,” katanya kepada Astro AWANI dalam kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.
Menjawab tanda tanya mengenai lawatannya ke luar negara, Hasanuddin menjelaskan, perkara itu sudah dirancang lebih awal.
Menurut Hasanuddin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun telah mengarahkan beliau bersama Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) dan Ahmad Fadhli Saari (Pasir Mas) mewakili Parlimen Malaysia menghadiri Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul pada 7 hingga 11 Disember.
Jelas beliau, arahan untuk menghadiri sidang OIC dibuat atas kapasitinya sebagai ahli Parliamentary Friendship Group, Parlimen Malaysia.
Hasanuddin mendakwa, jemputan daripada Parlimen Pakistan dan Iran adalah disebabkan beliau seorang yang aktif dalam dunia kemanusiaan dan kebajikan di peringkat antarabangsa.
"Saya pernah berada dalam kapal Mavi Marmara yang menghantar misi kemanusiaan ke Gaza, jadi saya dijemput oleh Pakistan untuk berbincang tentang isu Kashmir.
"Saya telah dijemput menjadi tamu Parlimen Pakistan dan Parlimen Jamu Kashmir dan pada waktu sama teman-teman dari Parlimen Iran juga mengundang saya," katanya lagi.
Pada Isnin, Hasanuddin dikecam teruk oleh pengguna media sosial apabila memuat naik gambar berada di ketinggian 5,000 kaki di Gunung Tochal di Iran pada 18 Disember lalu.
Ada antara pengguna media sosial mencadangkan agar Hasanuddin terus berada di Kashmir dan tidak lagi pulang ke Malaysia.