"Saya cuba bertahan, namun...."- Pendaki OKU sedih tidak dapat tawan puncak Everest
Rahimah Abdullah
Mei 28, 2022 19:39 MYT
Mei 28, 2022 19:39 MYT
KUALA LUMPUR : Pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) Misi Keluarga Malaysia Everest (KAME) 2022 , Muhammad Hawari Hashim melahirkan rasa kecewa dan sedih kerana tidak dapat meneruskan misi menawan puncak Gunung Everest.
Dia dan seorang lagi pendaki, Jack Oh Jin Heng hampir tiba di Camp 4 Everest, namun, terpaksa berpatah balik ke Camp 3 demi keselamatan nyawa dan mengelakkan ‘frostbite’.
Bermula dari Camp 2, Muhammad Hawari sudah bersemangat untuk ke Camp 3 dan seterusnya nekad untuk mendaki sehingga Camp 4.
Namun, dia akur dengan nasihat rakan-rakan agar berpatah balik kerana faktor keselamatan.
"Kami semua berbincang dengan ketua pendaki untuk tetap meneruskan pendakian ke Camp 4 walau kami tahu berdepan risiko kehilangan nyawa dan kecederaan lain. Saya yakin saya boleh teruskan pendakian.
"Walau sejuk melampau saya cuba bertahan, apa jua cabaran saya nak teruskan juga sampai ke Camp 4. Walaupun ada yang nasihat saya mengenai risiko bakal dihadapi, namun saya tetap mahu mendaki ke Camp 4. Saya bersama dengan Jack (Jack Oh Jin Heng).
"Namun, kami terpaksa kembali (ke Camp 3) sebab cuaca. Saya berasa kecewa sebab kena kembali ke Camp 3 , sedih sangat. Saya rasa saya boleh buat tetapi disebabkan nasihat kawan-kawan, saya kena patah balik demi keselamatan saya dan kawan-kawan yang lain," katanya semasa sidang media di Kathmandu, Nepal pada Sabtu.
Dalam pada itu, seorang lagi pendaki, Jack Oh Jin Heng berkata cuaca yang buruk menyebabkan mereka tidak selesa untuk mendaki, sekali gus mewujudkan kerisauan tentang risiko keselamatan.
Justeru walaupun dengan berat hati, mereka terpaksa berpatah balik dan tidak meneruskan misi ke Camp 4.
"Kumpulan kami berpecah sikit, jadi saya dengan Hawari teruskan perjalanan. Dengan berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, kami yakin boleh sampai ke Camp 4. Kami teruskan perjalanan dalam dua ke tiga jam.
"Angin datang dan pergi, namun pada akhirnya itu, angin datang dan tak pergi lagi. Jadi saat itu semakin sejuk dan tak selesa.
"Kami cuba bertahan dan dengan positif akan berhenti namun (angin) tidak berhenti juga. Pada saat itu perbincangan diteruskan dengan Pihak Pengurusan Nepal (Sherpa) dan Ketua Misi. Walau pahit, kami putuskan untuk berpatah balik. Kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia tidak dapat teruskan misi," ujarnya.
Namun, walaupun tidak dapat menawan puncak Gunung Everest pada kali ini, mereka berharap berpeluang menebusnya kembali pada tahun depan.