"Saya buntu, hanya mampu berdoa" - Fauziah Nawi kehilangan kata-kata
Saharudin Musthafa
Oktober 26, 2019 18:34 MYT
Oktober 26, 2019 18:34 MYT
SETIAP ibu yang menerima perkhabaran duka mengenai anak mereka, pasti akan tergamam serta hilang kata-kata.
Begitu juga yang sedang dilalui pelakon tersohor tanah air, Fauziah Nawi yang kini diuji dengan musibah yang melanda anaknya, Pitt Hanif.
Tiada kata-kata yang dapat menterjemahkan betapa hibanya Fauziah apabila dimaklumkan mengenai kehilangan Pitt pada tengah hari Sabtu.
Sekalipun, belum mengetahui kedudukan sebenar Pitt yang dilaporkan hilang di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang semasa memancing, Fauziah menyerahkan nasib anaknya pada ketentuan Allah.
"Saya hanya mampu berdoa. Itu sahaja keupayaan yang saya ada sekarang," luah Fauziah dalam perbualan dengan Astro AWANI sebentar tadi.
Getar suara pelakon filem Sayang Salmah itu sudah cukup menterjemahkan betapa emosinya sedang berat menanggung kerisauan.
Masakan tidak, Pitt atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif adalah anak kandungnya yang masih belum ditemui selepas dilaporkan hilang sekitar pukul 1 tengah hari.
BACA: Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas di Sungai Mela, Kuala Lipis
Kepada semua pihak, Fauziah merendah diri memohon untuk mendoakan kesejahteraan Pitt yang juga seorang pengarah drama dan filem.
"Saya buntu, pelbagai perasaan sedang dirasakan. Hanya pada Allah saya mohon segala kebaikan," kata Fauziah lagi.
Pada masa ini, Fauziah berada di Kuala Lumpur bersabar menanti hasil pencarian Pitt yang sedang digiatkan oleh pasukan keselamatan.
"Kaki saya tidak kuat, tidak mampu ke sana (lokasi pencarian). Menantu saya (isteri Pitt) sudah ke sana untuk bersama-sama pasukan keselamatan.
"Sekalipun saya di sini (Kuala Lumpur), namun doa saya buat Pitt tidak pernah putus. Ya Allah mohon permudahkan segala urusan pencarian," ujar Fauziah lagi.
Berita sedih yang melanda Pitt, 43, menjadi tular di media sosial.
Rakan-rakan seperjuangan Pitt dalam industri perfileman masing-masing berkongsi rasa sedih serta menitipkan doa buat sahabat mereka yang dilanda musibah.
Isteri Pitt, Fara Ahmad turut memuat naik entri di laman Instagram memohon seluruh kenalannya mendoakan kesejahteraan suaminya yang sehingga kini masih belum dapat dikesan.
"Mohd Firdaus Mohamad Hanif. I know u still there u strong. Pls stay strong i otw jerantut Pahang to be with u & save you my man.
"Our princesses are so strong so same goes to u my hero my soulmate my king my man my radio .pls stay strong for me pls for Dhia for mhia for Thia. Pls @pitthanif.
"Guys i need everyone positive vibes & doa. Only Allah knows the best for us . Aammin," tulis Fara di Instagram peribadinya.