'Saya bukti kejayaan PPSMI' - Syed Saddiq
Faris Danial Razi
Februari 2, 2020 18:12 MYT
Februari 2, 2020 18:12 MYT
"Saya merupakan salah seorang anak muda yang melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dan pada masa sama, saya berjaya dididik melalui sistem itu.”
Demikian jelas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembali dasar PPSMI dalam sistem pendidikan negara, kerana beliau mengakui dasar itu banyak membantunya sejak dari peringkat sekolah sehingga ke hari ini.
“Saya bersetuju dengan cadangan YAB Perdana Menteri, saya merupakan salah seorang anak muda yang melalui pelajaran PPSMI.
“Pada masa sama, saya berjaya dididik melalui sistem PPSMI dan akhirnya saya berjaya pada peringkat awal pun, bukan sahaja penggunaan bahasa Inggeris saya sangat lemah, tetapi selepas tamatnya pengajian di pendidikan tinggi, apa yang saya belajar melalui pembelajaran PPSMI tersebut dalam sains dan matematik, juga dapat saya guna pakai sampai ke peringkat universiti, sampai ke hari ini," jelas Syed Saddiq sewaktu menghadiri sesi Luncheon Talk bagi acara Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras pada Ahad.
Beliau pada masa yang sama menyatakan sokongannya terhadap sistem tersebut kerana meskipun ia dilihat bukan sebagai satu perkara mudah untuk diperkenalkan semula, tetapi Dr. Mahathir katanya mempunyai niat ikhlas.
“Saya menyokongnya kerana saya tahu ini bukan satu perkara mudah tetapi saya memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir kerana saya tahu bila beliau bawa perkara ini walaupun tidak mudah dan tidak popular, tetapi beliau berniat ikhlas untuk memastikan bahawa anak-anak muda khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar, dapat diberikan pendidikan yang terbaik.
Selain itu, beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) berkata PPSMI juga mampu memberikan pendedahan terbaik, supaya akhirnya kesemua golongan pelajar luar bandar turut mampu menjadi kompetitif seperti yang lain apabila mereka masuk ke universiti, atau ke dunia pekerjaan pada masa akan datang.
Dr Mahathir, yang juga pemangku menteri pendidikan sebelum ini berkata ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.
Dasar PPSMI telah diperkenalkan pada 2003 kemudian digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.
#Belia
#cadangan PPSMI
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Menteri Belia dan Sukan
#pelajar
#pendidikan
#PPSMI
#sekolah
#Syed Saddiq
#Syed Saddiq Abdul Rahman