'Saya bukan tali barut halang usaha tuntut hak Sabah dalam MA63' - Bung Moktar
Abdul Hafiz Mustadi
Julai 7, 2022 14:19 MYT
Julai 7, 2022 14:19 MYT
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa beliau bukan tali barut yang menghalang usaha menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama dibahaskan oleh pemimpin-pemimpin Sabah.
Sebaliknya, Bung Moktar berkata beliau hanya menyarankan supaya pemimpin Sabah mengambil langkah bijak dalam usaha menuntut hak negeri itu dengan Kerajaan Persekutuan.
"Saya bukan tali barut, saya hanya berkata sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak dan saya tidak pernah berkata untuk menidakkan perjanjian MA63.
"Apa yang saya kata pemimpin yang bijak akan mencari jalan penyelesaian tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu ini walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai," katanya di dalam satu kenyataan.
Ia sebagai jawapan balas terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dan pemimpin BN mengenai cadangan rundingan baharu di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Bung Moktar yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menambah, pemimpin yang bijak mampu mencapai jalan penyelesaian tanpa menunjukkan emosi keterlaluan.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa 'New Deal' yang disebut baru-baru ini oleh Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan merujuk kepada rundingan penghapusan sekatan-sekatan di dalam perlembagaan yang menghalang pelaksanaan MA63 dan bukannya perjanjian baru menggantikan MA63.
Hanya dengan langkah itu menurut beliau penyelesaian berhubung isu peruntukan Sabah dapat dicapai dan bukannya melalui langkah popular yang diguna pakai oleh sesetengah pihak yang dilihat tidak efektif.
"Hakikatnya walaupun isu ini (MA63) telah dibincang beratus kali, dibahas beribu kali, pemimpin demi pemimpin datang dan pergi, ada pemimpin dan orang perseorangan yang membawa isu ini dan ada yang masuk penjara kerana terlalu beremosi atau 'extreme', namun isu MA63 masih tidak selesai. Perjuangan untuk mendapatkan hak Sabah dalam MA63 masih tidak dicapai," kata beliau.
Bung Moktar turut membidas kenyataan bekas pemimpin BN yang kini lantang menyalahkan parti itu hari ini mengenai MA63 tetapi tidak berbuat demikian sewaktu berada di dalam BN dahulu.
Beliau berpendapat bahawa tindakan menyalahkan BN mengenai MA63 hanyalah mainan politik musuh BN menjelang PRU-15.
"Dalam isu ini ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), pemimpin Warisan, pemimpin UPKO, mereka semua ini berada dalam kerajaan BN dahulu.
"Namun, apabila berada dalam kerajaan mereka memilih untuk berdiam diri, apabila BN kalah merekalah yang meninggalkan BN atau melompat terlebih awal," katanya.