Saya bukan macai mana-mana parti politik - Uncle Kentang

Rahimah Abdullah
Februari 8, 2019 07:30 MYT
Uncle Kentang kini sudah memiliki enam buah ambulans bersama pembantu perubatan dan tiga buah van jenazah untuk kegunaan mereka yang benar-benar memerlukan. - Rahimah Abdullah / Astro AWANI
Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih mesra dengan gelaran "Uncle Kentang" yang sebelum ini mengumumkan ingin bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih Mac ini, mengakui menerima banyak pelawaan pelbagai pihak untuk menyertai parti politik tertentu.
Namun, beliau bertegas untuk bertanding sebagai calon Bebas kerana ingin membantu rakyat dan bukan bermotifkan kepentingan diri.
Malah, 'wira rakyat susah' ini menolak dakwaan pihak tertentu bahawa dirinya adalah macai mana-mana parti politik.
"Ramai orang kata saya macai DAP, macai BN (Barisan Nasional), macai inilah, macai itulah. Saya tak kisah pun, sebab yang penting mesej (saya bertanding) perlu sampai kepada rakyat.
"Keluarga saya, keluarga abang saya, mereka tidak suka saya masuk bertanding dan masuk politik. Namun bagi saya, misi saya adalah lain daripada hidup mereka.
"Itu misi hidup seseorang. Mesti ada misi," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Beliau juga terkilan dengan sikap wakil rakyat yang diberi mandat membela rakyat tidak menjalankan tanggungjawab mereka, menyebabkan lelaki itu mahu bangkit mewakili mereka.
"Inilah sebab dan hasrat saya untuk menjadi calon PRK Semenyih. Sebelum ini kita menaruh harapan kepada kerajaan baharu, Pakatan Harapan.
"Namun, nampaknya ada kepincangan mereka. Itu antara sebab saya ingin bertanding juga, untuk benar-benar membantu rakyat tanpa berpolitik," ujarnya.
KEHIDUPAN SUSAH SEJAK KECIL
Kehidupannya yang daif semasa kecil menyebabkan beliau berazam untuk terus menolong orang dalam kesusahan.
"Keluarga saya orang susah dan bapa saya pesakit Tibi kronik dan meninggal dunia sebab kanser. Ibu saya mati sebab kanser juga.
"Masa ayah saya sakit, kami hanya ada basikal buruk. Lepas dia meninggal pun kami tidak mampu beli keranda. Masa itu saya rasa timbul untuk tolong orang," katanya sebak.
MAHU BANTU RAKYAT, BUKAN BANTU YB!
Chee Heng menegaskan, beliau bukan mengejar kebendaan, sebaliknya mahu membantu mereka yang dalam kesusahan.
"Kita sudah mengundi banyak kali dan kita lihat asyik Yang Berhormat (YB) yang tukar baju, tukar jam tangan, tukar rumah. Kita melopong.
"Yang penting harus bertanding ialah, anak Semenyih perlu menang. Jangan YB ubah nasib dia selepas menang, tetapi kena ubah nasib rakyat," katanya.
Malah katanya, bukan gelaran wakil rakyat yang diinginkannya, sebaliknya usaha memajukan rakyat perlu dilakukan.
"Bagi saya, kita telah ada moyang yang sama iaitu Adam dan Hawa. Sebab itu kita mesti bersama-sama," katanya lagi.
ORANG YANG DIBANTU, 80 PERATUS MELAYU
Mengulas lanjut, kira-kira 80 peratus mereka yang dibantu Chee Heng adalah orang Melayu.
"Kita dalam komposisi penduduk Malaysia ini ramai Melayu dan miskin bandar pun ramai Melayu. Gaji RM2,500 pun miskin tegar kalau di bandar.
"Di PPR (Projek Perumahan Rakyat) juga ramai Melayu. Tetapi ia kebetulan sahaja, bukan saya cari orang Melayu untuk tolong," katanya.
Malah, tidak hairanlah jika ramai yang mendoakan agar lelaki ini untuk memeluk agama Islam kerana pertuturan dan pegangan kepercayaannya.
"Apa yang saya lakukan sekarang ialah ikut apa yang diajar oleh Islam. Kalau saya masuk Islam, itu semua kuasa Tuhan. Bukan kuasa manusia," katanya.
'WALAUPUN SENDIRI SAKIT, ADA ORANG LAIN LAGI SAKIT'
Dalam pada itu, Chee Heng sanggup mengetepikan penyakit diabetes yang dihadapinya bagi mengutamakan orang yang lebih memerlukan bantuannya.
Lelaki ini kini bagaimanapun, masih bertahan dengan ubat-ubatan yang diberikan doktor.
"Saya disahkan menghidap diabetes, tetapi saya sanggup ketepikan penyakit ini dulu. Saya mahu bantu rakyat kita," tambahnya.
Katanya, dengan bantuan individu dan pertubuhan terlibat, kos bagi menguruskan bantuan kepada rakyat kira-kira lebih RM60,000 sebulan mampu disediakan.
Malah, sehingga kini, beliau sudah memiliki enam buah ambulans dan tiga buah van jenazah untuk kegunaan mereka yang benar-benar memerlukan.
Malah, caj yang dikenakan adalah percuma atau sekurang-kurang RM1 kepada mereka yang benar-benar tidak berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Chee Heng sebelum ini mengesahkan dirinya akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Semenyih 2 Mac ini.
Beliau akan menggunakan lambang telefon untuk menentang calon parti lawan.
#calon prk #Kuan Chee Heng #pilihan raya kecil #PRK Semenyih #Uncle Kentang
;