"Saya beza dengan Najib" - Anwar sedia siasatan skandal Forex dibuka

Astro Awani
Mei 12, 2022 23:20 MYT
Anwar dan Najib pada sesi Debat Perdana malam ini - Foto/Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan mahu menjalankan siasatan terbuka mengenai isu skandal Forex.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kalau betul tindakan mahu diambil, masalah utama yang perlu diselesaikan adalah berkaitan rasuah.
"Pendirian saya jelas, kalau esok boleh cakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), bagi tahu Peguam Negara buka siasatan terbuka, saya tidak ada masalah.
"Ini beza saya dengan Datuk Seri Najib (Razak).
“Saya tidak mahu mana-mana kes yang melibatkan mana-mana ahli politik dan menggunakan jentera politik untuk menutup kes atau mendera orang. Saya tak suka jentera politik, jentera kerajaan diperalat untuk tekan musuh politik.
"Oleh itu, kalau dibangkit, walau angka (disebut Najib) tak munasabah, saya tiada masalah dan boleh siasat... yang cerita auta politik ini la dia. Tetapi yang dibangkitkan juga, kalau betul mahu ambil tindakan, rasuah ini masalah. Ini masalah terbesar negara," katanya dalam Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, malam ini.
Anwar menjawab soalan diajukan Najib, yang mendakwa tiada tindakan lanjut diambil terhadap kerugian akibat aktiviti Forex berjumlah RM33 bilion pada 1994.
#Anwar Ibrahim #Najib Razak #Debat Najib Razak #berita Malaysia
;