'Saya bersyukur dermakan kepada insan yang baik' - Penderma hati pertama negara

Adie Sufian Zulkefli
Mac 2, 2021 14:07 MYT
Wan Hafizam (dua dari kiri) berkata, walaupun Mohd Afiq sudah tiada namun hubungan dengan keluarga arwah tidak akan putus. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: "Separuh daripada hati saya dikebumi bersama jasad adik Mohd Afiq Ikmal hari ini...".
Demikian luahan penderma hati pertama negara, Wan Hafizam Wan Ismail, 45, yang turut menghadiri pengebumian penerima sebahagian organnya itu, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Baroqah, Tikam Batu, petang tadi.
Wan Hafizam yang mengikuti perkembangan kesihatan Mohd Afiq kebelakangan ini berkata, dia gelisah sehingga tidak dapat tidur lena sejak beberapa minggu lalu.
Katanya dia terkejut dan sebak sebaik menerima panggilan daripada bapa Mohd Afiq yang memaklumkan anaknya itu telah meninggal dunia, hari ini.
Wan Hafizam berkata, walaupun Mohd Afiq sudah tiada namun hubungan dengan keluarga arwah tidak akan putus.
"Antara kenangan yang tak dapat dilupakan apabila melihat wajah ibu bapa Mohd Afiq tersenyum melihat anak mereka sihat selepas proses pemindahan hati 23 tahun lalu.
"Itu kepuasan yang tak boleh saya nak gambarkan dan tak boleh saya nak cerita macam mana seronok saya ketika itu," katanya.
BACA: Penerima hati, Mohd Afiq Ikmal dikebumi selepas Asar
BACA: Penerima hati pertama meninggal dunia
Katanya, pengalaman dilalui bersama arwah 23 tahun lalu tak akan luput dalam ingatannya kerana dia pernah melalui detik mendebarkan apabila dimaklumkan keadaan Mohd Afiq ketika itu kritikal dan peluangnya untuk hidup hanya 50-50 selepas pembedahan pemindahan hati berjaya dilakukan di Hospital Selayang.
Bagaimanapun katanya, dia menarik nafas lega apabila mengetahui Mohd Afiq kembali stabil dan meneruskan kehidupannya.
Katanya, dia bangga kerana menderma hatinya kepada Mohd Afiq kerana arwah seorang yang baik malah jururawat yang pernah menjaganya turut memuji akhlaknya.
"Bila hati kita ini dibawa pergi mengadap Allah sedang kita ini masih ada setengah di sini, jadi sedikit sebanyak benda tu terasa... rasa takut sebab kita ini tahu kita ini siapa.
"Tapi rasa bangga kerana adik Mohd Afiq ni cukup baik... kerap bantu orang, malah kerap memberi sokongan dan berkongsi pengalaman dengan pesakit hati yang ada masalah kesihatan," katanya.
#derma hati #penerima hati #penderma hati #meninggal dunia #Penerima hati pertama negara #Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini #Wan Hafizam Wan Ismail