Saya berpeluh-peluh dan hampir pitam - Mangsa keracunan Batu Gajah
Astro Awani
Mac 5, 2016 13:57 MYT
Mac 5, 2016 13:57 MYT
Beberapa pekerja kilang mengakui mengalami rasa pening dan muntah malah hampir pitam selepas menjamu sarapan di sebuah gerai di Siputeh Batu Gajah, Perak yang dipercayai tercemar akibat racun kimia.
Akibat kejadian berkenaan, 37 orang telah dibawa menerima rawatan di Hospital Batu Gajah, manakala empat darinya yang dilaporkan kritikal dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Pusat Perubatan KPJ, Ipoh.
Beberapa pesakit yang ditemui di Hospital Batu Gajah turut mengimbas kembali detik mereka jatuh sakit sebaik sahaja menjamu makanan seperti kuih, bihun goreng, kuey teow goreng dan nasi goreng di gerai berkenaan.
Menurut salah seorang mangsa, Noorhafizah Abd Manaf, sebaik sahaja mengalami simptom keracunan makanan, dia tidak dapat meneruskan tugasnya dan digegaskan oleh penyelia kilangnya ke hospital berhampiran.
“15 minit selepas saya makan mee goreng di gerai tersebut, saya sudah mula pening. Bukan saya sahaja, beberapa kawan juga mengalami pening dan muntah yang sama. Kemudian saya dan kawan-kawan dibawa penyelia ke hospital kerana hampir pitam,” kata Noorhafizah.
Manakala bagi seorang lagi mangsa V. Marimah, selepas mendapatkan rawatan dia kini beransur pulih, namun masih tidak dapat melupakan pengalaman pahit itu.
“Sekarang saya rasa lebih baik dari semalam. Selepas makan di kedai berkenaan saya mula berpeluh dan jatuh pengsan. Saya dihantar ke hospital bersama 11 lagi pekerja kilang yang mengalami keracunan yang sama,” kata Marimah.
Siasatan awal mendapati kesemua pesakit dipercayai telah termakan makanan di gerai tersebut yang tercemar dengan bahan kimia dikenali sebagai organophosphate.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dalam satu sidang media di Hospital Batu Gajah berkata pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan ke atas insiden berkenaan dan pihak bomba mengesahkan tiada kebocoran gas berlaku.