'Saya beri arahan musnahkan khemah, bukan hapuskan bukti'

Fareez Azman
April 24, 2019 13:54 MYT
Md Zukir Md Isa, 62 tahun, berkata arahan itu diberikan sewaktu mesyuarat bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis. - Astro AWANI / Shahir Omar
Saksi ke-13 dalam Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, menjelaskan beliau memberi arahan untuk memusnahkan khemah di Wang Kelian hanya untuk memastikan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak tinggal di lokasi berkenaan, dan bukan untuk hapuskan bukti.
Dalam sesi yang masuk hari kelima pada hari ini (Rabu), Asisten Komisioner bersara Md Zukir Md Isa, 62 tahun, berkata arahan itu diberikan sewaktu mesyuarat bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Md Zukir memberi keterangan itu ketika ditanya Pegawai Pengendali Khairul Anuar Abd Halim berkenaan kubur dan khemah serta tangkapan 38 PATI 19 Januari 2015.
“Saya tahu pasal perkara ini pada 20 Januari 2015 ketika saya wakili Ketua Polis mempengerusikan mesyuarat bulanan dengan Ketua Polis Daerah dan jabatan yang dihadiri Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Wakil Komandan Briged Utara Batallion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA),” jelasnya.
Dalam mesyuarat itu tambahnya, hanya dibangkitkan mengenai tangkapan 38 PATI, penemuan khemah; dan struktur tanah menyerupai kubur oleh Komandan Kompeni B, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, DSP Joeking M. Marian Anthony yang juga saksi kelima.
“Dia hanya berkata terdapat struktur tanah berhampiran khemah. Saya beri arahan kepada CID dan pasukan forensik serta dibantu Pasukan Gerakan Am menyiasat struktur tanah yang dikatakan menyerupai kubur ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan tindakan DSP Joeyking kerana tidak menyiasat dahulu struktur tanah itu sebelum menghapuskan khemah yang dijumpai.
Malah tidak diberitahu akan operasi yang dijalankan.
Md Zukir berkata ketika memberi keterangan dihadapan tujuh panel Suruhanjaya itu yang diketuai Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.
#arahan musnahkan khemah #kubur wang kelian #pati #pemerdagangan manusia #pendatang asing #RCI
;