Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes positif di negara ini juga kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lalu.
Justeru itu, beliau menasihati agar perkara itu tidak diambil mudah oleh rakyat di negara ini bagi mengelakkan kerajaan melakukan tindakan lebih tegas termasuk melaksana Perintah Berkurung kembali.
"Saya pasti saudara-saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lockdown sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak.
"Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu (Perintah Berkurung). Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam keadaan lockdown seperti itu," katanya, pada Isnin.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai PKPP, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan cuba sedaya upaya untuk elak melaksanakan Perintah Berkurung kerana ia bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Selain itu, pelaksanaan tersebut akan menidakkan usaha-usaha pihak berkaitan dalam memulih dan menjana semula ekonomi negara.
"Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia," katanya lagi.