'Saya bagi peluang supaya tidak tersinggung tapi akan datang jaga-jaga' - Agong
Afiezy Azaman
Februari 26, 2024 11:50 MYT
Februari 26, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim meminta semua Ahli Parlimen untuk bersiap-siaga sepanjang pemerintahan Baginda yang telah bermula sejak 31 Januari lalu.
Sultan Ibrahim bertitah, Baginda merupakan orang baharu di Dewan Rakyat dan belum mencapai satu bulan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan perlu belajar mengenai banyak perkara.
"Ucapan saya hari ini lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor, saya bagi peluang supaya tidak ada yang tersinggung tapi akan datang harap-harap berjaga-jaga.
"Pemerintahan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Agong yang lepas iaitu mengikut Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan..
"Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara," Titah Baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Oleh itu, Sultan Ibrahim menyeru kepada semua pihak termasuk pihak Kerajaan dan pihak pembangkang untuk berganding baharu dan bekerjasama membangunkan negara demi kepentingan rakyat.
"Di mata saya kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja tetapi semua 222 ahli Dewan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan
"Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat malaysia di luar sana, oleh itu saya berharap semua ahli berhormat akan menumpukan usaha untuk membelah nasib hidup mereka dan bukan untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri," Titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menaungi negara selama lima tahun sebelum ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun dengan adil dan bijaksana.
“Insya-Allah dengan limpah kurnia-Nya saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas dan meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
"Tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan anggota pentabdiran yang telah mentadbir negara dengan sempurna, pesanan saya, sentiasa rasai denyut nadi rakyat kerana menjadi kewajipan kerajaan untuk membela nasib rakyat," Titah Baginda lagi.