'Saya akan teruskan perkhidmatan di Tambun walau ada kekangan' - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
Februari 5, 2023 14:24 MYT
Menurut Ahmad Faizal, beliau akan meneruskan khidmat yang telah diberikan sebelum ini bagi membantu rakyat di Tambun. - Gambar fail
IPOH: Walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa beliau tidak akan meninggalkan Parlimen Tambun.
Sebaliknya, kata bekas Menteri Besar Perak dan Menteri Belia dan Sukan itu, beliau akan meneruskan khidmat yang telah diberikan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui akan menghadapi kekangan kerana tidak lagi mempunyai peruntukan daripada kerajaan.
"Ini termasuk peruntukan untuk contohnya, van jenazah, ambulan saya masih beroperasi, kita teruskan kerana perkhidmatan untuk membantu rakyat, tanpa mengira parti, bukan bersebabkan kita mahu menjadi wakil rakyat untuk kita kekal menang, tidak. Ianya adalah satu tanggungjawab sosial bagi semua pihak. Jadi pihak Perikatan Nasional, saya sendiri akan meneruskan apa juga perkhidmatan yang telah saya berikan sebelum ini," kata Ahmad Faizal.
Beliau ditemui dalam majlis kenduri kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Manjoi di sini, pada Ahad.
Pada PRU15 lalu, Ahmad Faizal tewas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti 3,736 undi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Tambun kerana mendapat Ahli Parlimen yang juga Perdana Menteri ke-10 dan menzahirkan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan PM Anwar untuk membantu rakyat di Tambun.
#Ahmad Faizal Azumu #parlimen tambun #tewas di PRU15 #Timbalan Presiden Bersatu
;