'Saya akan terus beri kerjasama sehingga siasatan selesai' - Ismail Sabri

Astro Awani
Mac 13, 2025 17:23 MYT
Ismail Sabri hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya sehingga selesai.
“Hari ini saya telah hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Bera itu meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pada jam 3.15 petang selepas kira-kira lima jam memberi keterangan.
Terdahulu, Ismail Sabri hadir jam 9.48 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi Khamis bagi dirakam keterangan berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram dihadapinya.
Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas tempoh cuti sakit Ismail Sabri tamat pada Rabu.
Ismail Sabri sepatutnya dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac untuk memberi keterangan.
Namun, beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan telah diberi sijil cuti sakit oleh doktor yang merawatnya sehingga semalam.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dipercayai dijadikan safehouse oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, barang rampasan itu ditemui di tiga peti besi kediaman terbabit.
Ismail Sabri kini disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
#ismail sabri yaakob #SPRM #pengubahan wang haram #kes rasuah #terkini
;