Saya akan pegang janji - Tun M
Arfa Yunus
Disember 30, 2018 15:25 MYT
Disember 30, 2018 15:25 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas beliau akan tetap berpegang pada janji untuk bersara daripada jawatan Perdana Menteri selepas dua tahun.
Meskipun ada beberapa perwakilan yang mencadangkan agar beliau kekal memegang jawatan Perdana Menteri hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Mahathir tetap menunaikan janji bersama Pakatan Harapan.
"Macam-macam orang ada pendapat, mereka ada pendapat masing-masing. Nanti saya akan jawab.
"Itu pendapat mereka tapi (saya) kena pegang kepada janji," katanya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya PICC sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik sumber berkata salah seorang perwakilan Bersatu memberitahu bahawa terdapat usul agar Dr. Mahathir dibenarkan memegang jawatan itu sehingga PRU15.
Usul itu didakwa dibuat semasa sesi perbahasan ucapan Dasar presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum PRU14 Dr Mahathir bersama pimpinan Pakatan Harapan membuat perjanjian bahawa presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih tugas Perdana Menteri selepas dua tahun PH memerintah.
Ditanya jika beliau setuju dengan usul itu, Dr Mahathir menjawab ringkas: "Mana saya tahu, tapi ramai yang berdiri."
Anak beliau yang juga Timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika ditemui media pada Ahad menyifatkannya usul itu sebagai 'cadangan yang baik'.
#anak
#jawatan
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Mukhriz Mahathir
#Pakatan Harapan
#PATBersatu2018
#Perdana Menteri
#presiden