Saya akan kembali kepada cinta pertama, bidang guaman - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Ogos 28, 2021 18:37 MYT
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata bidang guaman merupakan cinta pertamanya bukan sebagai ahli politik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan persaraan dalam bidang politik, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan beliau akan aktif dalam bidang perundangan.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata bidang guaman merupakan ‘cinta pertamanya’ bukan sebagai ahli politik.
Nazri menjelaskan, beliau telah menubuhkan sebuah firma guaman untuk merealisasikan hasratnya itu.
“Dari dulu saya berminat nak bantu orang, jadi saya tengok menjadi peguam boleh bantu orang dalam mahkamah.
“Saya masuk politik boleh kata secara tidak sengaja, dilantik sebagai exco pemuda UMNO pada tahun 1978 ketika umur 24 tahun oleh Ketua Pemuda waktu itu, Haji Suhaimi.
“Bila dah bersara, saya mahu meneruskan cita-cita yang tertangguh itu,” katanya kepada Astro AWANI.
BACA: Nazri Aziz umum bersara, beri peluang orang muda
Nazri mengumumkan persaraannya dalam bidang politik sekaligus tidak akan mempertahankan kerusi parlimen Padang Rengas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Mengulas mengenai keputusannya itu, Nazri menjelaskan era generasi beliau sudah berlalu dan perlu memberi peluang kepada pemimpin pelapis.
“Bila (Datuk Seri) Ismail Sabri naik jadi perdana menteri, maknanya ini masa untuk generasi baru.
“Perubahan kepada generasi muda perlu berlaku di semua peringkat termasuk di akar umbi.
“Saya sudah 20 tahun jadi ketua bahagian, dari awal menang tanpa bertanding, enam penggal jadi Ahli Parlimen dan 19 tahun jadi menteri, nak apa lagi?, katanya lagi.
Ditanya apa perasaannya selepas mengumumkan persaraan, Nazri menjawab ringkas, “Saya rasa lega”.
#Nazri Aziz #Nazri bersara #bidang guaman #Ahli Parlimen Padang Rengas
;