KUALA LUMPUR: Selepas selesai istiadat mengangkat sumpah di Istana Negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memuat naik status pertamanya sebagai Perdana Menteri kesembilan sekitar pukul 5.20 petang Sabtu.

Dalam hantaran itu, Ahli Parlimen Bera itu meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi selepas proses lantikan itu selesai.

Bahkan, Ismail Sabri juga menjunjung kasih di atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya untuk jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9.

[LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9

BACA: Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara


Ismail Sabri dalam hantaran sama merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya.

“Insya-Allah saya akan menjalankan tugas dan amanah ini untuk Malaysia,” katanya dalam hantaran tersebut.

 
Sumber Facebook ismailsabri60

Dalam status tersebut, beliau turut berkongsikan gambarnya menerima watikah pelantikan sebagai Perdana Menteri daripada Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri

Antara yang turut berada di dalam Balai Singgahsana Kecil menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Selain itu, turut kelihatan ialah ketua-ketua parti politik negara seperti Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.


Lambaian tangan pertama Perdana Menteri Kesembilan