Saya akan dakwa Jamalul Kiram III juga! - Peguam Negara

T K Letchumy Tamboo
Mac 22, 2013 16:35 MYT
"Kalau Jamalul Kiram III datang ke Sabah, saya juga akan dakwa dia atas tuduhan pengganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong!"
Itu amaran Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selepas orang yang mendakwa dirinya sebagai Sultan itu mengatakan tuduhan itu sebagai tidak sah.
Jamalul, melalui jurucakapnya, Abraham Idjirani berkata tuduhan itu tidak sah kerana ‘Malaysia tidak memiliki Sabah’.
“Kalau dia rasa tuduhan itu tidak sah, dia boleh mencabarnya di mana-mana mahkamah kita. Sekurang-kurangnya, kita melakukan perkara ini mengikut proses undang-undang, bukan seperti dia yang menyuruh orang mereka membunuh pasukan keselamatan negara kita,” ujar beliau kepada Astro Awani.
Idrijani menyatakan 'sultan' akan memfailkan aduan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kerajaan Malaysia yang mendakwa lapan warga Filipina sebagai pengganas.
"Kami mengutuk kekejaman pihak Malaysia kerana mereka tidak memiliki Sabah. Mereka hanya menghuni negeri itu. Malah kerajaan Malaysia masih membayar pajakan kepada 'Sultan' Sulu," dakwa Idrijani.
"Kami bimbang lapan warga Filipina itu kini didakwa atas tuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. Tuduhan itu tidak sah kerana Sabah di bawah takluk 'Sultan' Sulu," tambahnya.
Pada Rabu, lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas kesalahan melancarkan perang keatas Yang Di-Pertuan Agong serta menimbulkan keganasan.
Dua daripada tertuduh, Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel, berhadapan dengan hukuman mati dan yang lain akan dipenjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Atik dan Bashad didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan dibacakan bersama enam yang lain mengikut Seksyen 130KA kanun yang sama kerana menjadi ahli kumpulan pengganas.
Atik didakwa melakukan kesalahan di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu dari 9 Feb hingga 3 Mac lepas manakala Basad melakukan dua kesalahan yang sama dari 9 Feb hingga 2 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Empat individu lain, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir didakwa kerana terlibat dengan anggota pengganas.
#Filipina #Jamalul Kiram III #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu #Tan Sri Abdul Gani Patail
;