'Saya akan cari Jho Low sampai ke lubang cacing' - Hishammuddin
Diyana Ibrahim
Oktober 22, 2018 13:04 MYT
Oktober 22, 2018 13:04 MYT
Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menawarkan diri menjejaki ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini dipercayai berada di China untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Parlimen Sembrong itu turut berkata, inisiatif tersebut atas kapasitinya sendiri dan bukan kerana diminta oleh Putrajaya.
“Ini atas peribadi. Saya tahu ia bukan mudah tapi tidak ada siapa dalam negara itu yang menafikan Jho Low ini tidak terlibat dalam kes1MDB," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.
“Kalau kita nak kes ini tutup dan nama bersih semula, saya akan cari Jho Low, sampai ke lubang cacing saya akan cari,” tambahnya.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan bahawa Putrajaya meminta bantuannya untuk menjejaki ahli perniagaan tersebut.
Hishammuddin turut berkata beliau akan ke China tidak lama lagi dalam usaha menjejaki Jho Low.
“Kita tengah berusaha. Saya tidak tahu sama ada beliau di China atau tidak, namun itu apa orang kata,
“Jadi, saya masih mempunyai hubungan baik dengan China, ada ‘networking’ saya akan bawa balik apa yang saya mampu buat.”
Katanya, rakyat memerlukan kebenaran dan Jho Low perlu dibawa balik ke sini.
“Diminta Putrajaya atau tidak rakyat Malaysia mahukan kebenaran. Untuk dapatkan kebenaran ini tidak kisah sama ada kita pembangkang atau kerajaan.
“Jho Low ini merupakan individu yang sangat kritikal kita kena cari dan perlu ada jawapan untuk negara boleh bergerak ke hadapan," tambahnya.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#China
#Jho Low
#kerajaan
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Pakatan Harapan
#Putrajaya
#siasatan