Saya akan bayar kompaun selepas terima notis - MB Kedah

Astro Awani
Julai 17, 2021 15:57 MYT
Bagaimanapun jelasnya, pihaknya masih belum menerima sebarang notis atau surat pemakluman berkaitan kompaun yang dikenakan ke atas dirinya. - Gambar fail/BERNAMA
LANGKAWI: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan membayar kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) selepas menerima notis daripada pihak polis.
Bagaimanapun jelasnya, pihaknya masih belum menerima sebarang notis atau surat pemakluman berkaitan kompaun yang dikenakan ke atas dirinya.
‘’Saya ketika ini sedang menunggu, dah dapat notis nanti saya pergi bayar,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja sempena pembukaan PPV Integrasi LICC, Kuah, pada Sabtu.
Terdahulu pada Jumaat, Polis Pulau Pinang menyatakan sudah menerima arahan dan akan mengeluarkan kompaun ke atas Muhammad Sanusi dalam masa terdekat.
BACA: Polis akan serah kompaun MB Kedah dalam tempoh terdekat
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi berkata, kompaun dikeluarkan kerana melanggar SOP dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang bulan lepas.
Pada 5 Jun lalu, tular gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di saat negara berada di bawah Sekatan Pergerakan Penuh dan pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden menafikan Muhammad Sanusi melanggar SOP dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran.
Polis kemudian telah mengambil keterangan Muhammad Sanusi dan beberapa orang saksi berhubung kes tersebut.
Kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.
Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
#Muhammad Sanusi Md Nor #langgar SOP #MB Kedah #PKP #Mohd Shuhaily Mohd Zain #Autocity Juru #sekatan pergerakan penuh
;