Sawah kering: MOA akan segera bantu - Salahuddin
Bernama
Januari 2, 2020 23:41 MYT
Januari 2, 2020 23:41 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan segera membantu petani di Perlis dan Kedah yang menghadapi masalah sawah kering, akibat musim kemarau yang melanda negeri terbabit.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya sedia memberikan bantuan dan pertolongan, termasuk menyelaras kerja-kerja pengairan di Perlis bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).
"Kita mengambil serius perkara ini dan akan mengadakan perbincangan bagi mengatasi masalah ini, termasuk mengurangkan kerenah birokrasi agar ia dapat segera diselesaikan," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Tebatan Banjir (RTB) di Bintong dan Projek Tanaman Padi di Sempering dekat sini pada Khamis.
Salahuddin berkata pihaknya turut mengarahkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dengan kadar segera untuk mengeluarkan peruntukan, bagi membantu petani yang terjejas dengan membekalkan minyak petrol, bagi kerja-kerja mengepam air ke petak sawah.
Katanya pihak MoA juga akan melakukan kajian mengenai kerugian yang dialami petani, dan akan mengumumkan langkah dan bantuan yang sesuai, dalam masa terdekat agar dapat meringankan beban petani yang terjejas.
Sementara itu, Salahuddin berkata pihaknya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membuat perancangan awal, bagi menghadapi masalah kemarau dua negeri tersebut dengan menyediakan peruntukan khas, bagi melakukan pembenihan awan, di kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
"Kita diberi nasihat agar tidak melakukan pembenihan awan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia berikutan keadan awan yang tidak sesuai buat masa ini, dan kita akan tunggu masa yang sesuai, untuk menyelesaikan masalah dihadapi petani di kawasan MADA di Kedah dan Perlis," katanya.
"Diharapkan hujan akan turun dalam masa terdekat, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi petani agar ianya tidak menjejaskan tanaman dan pendapatan mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan petani di Perlis dan Kedah menghadapi masalah sawah kering, berikutan kemarau yang melanda utara semenanjung Malaysia, yang melibatkan kira-kira 100,000 hektar kawasan sawah.
-- BERNAMA
#bantuan
#kemarau
#Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
#MOA
#NAFAS
#Perlis
#Pertubuhan Peladang Kebangsaan
#petani
#Salahuddin Ayub
#sawah kering