Satya Nadella kongsi visi Microsoft dalam pembangunan AI bersama Agenda AWANI

Firdaus Azil
Mei 2, 2024 18:33 MYT
Ashwad (kiri) berpeluang bertemu Nadella bagi memahami dengan lebih mendalam tentang agenda AI Microsoft di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan pelaburan AS$1.7 bilion di Indonesia, serta pembukaan pusat data serantau pertama Thailand, demi mengukuhkan infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara minggu ini, Ketua Eksekutif Microsoft, Satya Nadella tiba pula di Malaysia.
Dan sudah pasti misi dan visinya tetap sama, hadir membawa pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia untuk membantu mengukuhkan ekonomi melalui teknologi perkhidmatan awan dan AI.
Jumlah yang diumumkan juga bukan sedikit, AS$2.2 biilion (RM10.5 bilion) untuk tempoh empat tahun, dengan sasaran membina pusat kecemerlangan AI dan memberi latihan kepada 200,000 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail berpeluang bersua muka dengan pemimpin teknologi itu di ibu negara, bagi memahami dengan lebih mendalam tentang agenda AI Microsoft, serta peluang yang terbuka demi kemakmuran ekonomi negara ini.
Ketika pertemuan itu, beliau antara lain berkata: “Secara jujurnya ia (pelaburan Microsoft) merupakan peluang yang sukar diperolehi, apabila saya melihat tentang generasi infrastruktur seterusnya yang diperlukan negara ini, dan Malaysia perlu menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.
“Anda mempunyai sumber tenaga dan pelaburan yang hebat, termasuk rangkaian teknologi. Saya rasa Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab yang hebat dalam melaksanakan 5G, fiber, dan satelit. Dan kini kami melabur untuk pembinaan utiliti pengkomputeran ini.
“Jadi mengambil kira tiga perkara ini, soalannya bukan tentang bagaimana anda membina infrastruktur ini, tetapi menggunakannya dengan sebaik mungkin, demi mengubah setiap aspek ekonomi dan masyarakat Malaysia. Masa akan menentukan, tetapi saya sangat optimistik,” katanya.
Dalam wawancara khas tersebut, Nadella juga sempat berkongsi bersama Ashwad tentang pertemuan terdahulu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan nasihat yang boleh diguna pakai bukan sahaja kerajaan, tetapi juga pemain industri berkaitan di negara ini.
“Nasihat yang boleh saya berikan, mungkin kepada diri saya sendiri juga, ialah bagaimana anda menentukan masa depan masing-masing.
“Saya berpeluang bersama dengan Anwar, dan beliau seperti yang anda sedia maklum, sangat fokus untuk memastikan kewujudan teknologi AI ini di Malaysia, dan lebih penting, bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada masyakarat Malaysia dengan lebih meluas. Saya gembira beliau sangat menyokong inisiatif ini,” katanya lagi.
Banyak lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh Nadella mengenai perkembangan pesat teknologi tersebut, risiko yang turut hadir, serta masa depan penggunaan AI.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan temu bual penuh Nadella dalam Agenda AWANI pada Jumaat, 9 malam, di saluran 501 dan semua platform Astro AWANI.
#Satya Nadella #Microsoft #kecerdasan buatan #Agenda Awani
;