Satu saluran pengambilan pembantu rumah mampu atasi masalah berbangkit - Ismail

Bernama
Februari 6, 2015 19:58 MYT
Persetujuan itu yang dicapai antara Malaysia dan Indonesia menerusi kunjungan pertama Presiden Indonesia Joko Widodo ke negara ini di Putrajaya hari ini. - Foto Astro AWANI
Langkah kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk mewujudkan satu saluran pengambilan pembantu rumah dari republik itu ke negara ini diyakini mampu menyelesaikan masalah berbangkit, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.
Beliau berkata sebelum ini terdapat pelbagai masalah termasuk dari segi sosial dan kesihatan yang berpunca daripada pekerja asing tanpa izin.
"Dengan persetujuan tersebut akan ada satu sistem yang lebih kemas dan tersusun bagi menyelaras kemasukan pekerja asing (pembantu rumah) yang terlatih.
"Sehubungan itu kami berharap selepas ini (penggunaan satu saluran), mereka boleh bekerja dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dan bantuan kepada pelajar yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini sumbangan Yayasan Pahang di kawasan Dewan Undangan Negeri Luit di sini hari ini.
Ismail mengulas mengenai persetujuan itu yang dicapai antara Malaysia dan Indonesia menerusi kunjungan pertama Presiden Indonesia Joko Widodo ke negara ini di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi langkah itu pemantauan terhadap segala isu termasuk usaha-usaha perlindungan terhadap pekerja Indonesia dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
#Ismail Abdul Muttalib #Joko Widodo #Jokowi #Najib Razak #Tenaga Kerja Indonesia #TKI
;