Satu permulaan baharu bagi setiap yang dilakukan... Ini fakta sambutan Gawai Dayak

Nickyson Nyambar
Mei 15, 2019 20:31 MYT
Sambutan Gawai Dayak ini akan diadakan pada 1 Jun setiap tahun. - BERNAMA
GAWAI DAYAK merupakan perayaan yang disambut oleh komuniti Dayak di Sarawak serta beberapa kawasan di Kalimantan, Indonesia.
Kaum Dayak atau (Dyak/Dayuh) terbahagi kepada dua kategori iaitu Dayak Laut (Iban) dan Dayak Darat (Bidayuh) dan kedua-dua etnik itu berasal dari Kepulauan Borneo.
Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai perayaan Gawai Dayak:
1) Sambutan Gawai Dayak ini akan diadakan pada 1 Jun setiap tahun. Ia mesra dengan panggilan Ari Gawai dalam bahasa Iban dan Andu Gawai dalam bahasa Bidayuh.
2) Lazimnya, sambutan Gawai Dayak ini disambut setelah musim menuai. Begawai dalam erti kata mudah sama seperti merayakan sesuatu. Sebagai contoh, hasil pemburuan, kelahiran, tanah baharu dan sebagainya. Tidak semestinya ia merujuk kepada hal menuai padi.
3) Hari Gawai adalah hari kaum Dayak memanjatkan kesyukuran atas segala keberkatan, nikmat dan tuah yang dilimpahkan oleh Tuhan. Itu adalah erti sebenar Gawai Dayak.
4) Jika dahulu, masyarakat Dayak bergantung kepada hasil tanaman seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran mereka. Oleh itu, adanya sambutan ini untuk meraikan segala hasil usaha dan kerja keras mereka.
5) Sambutan ini juga dilihat sebagai permulaan baru bagi masyarakat Dayak, tidak kira dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan, sama ada perancangan, pekerjaan mahupun perjalanan.
6) Kini, ia dilihat sebagai sambutan disertai dengan adat dan tradisi yang diperturunkan oleh nenek moyang. Semestinya, setiap amalan mempunyai maksud tertentu.
7) Kaum keluarga dan sanak saudara akan pulang ke rumah panjang bertemu ahli keluarga yang lain untuk meraikan sambutan Gawai Dayak. Ini juga merupakan masa terbaik untuk mengeratkan hubungan, berkenalan, bertanyakan khabar dengan sanak saudara yang lain dan mengenali susur-galur keluarga dengan lebih mendalam.
#Andu Gawai #bahasa Bidayuh #Bahasa Iban #Bidayuh #Gawai Dayak #Iban #Kepulauan Borneo #Land Dayak #Sarawak
;