Satu penghormatan besar didik Al-Sultan Abdullah, kata bekas guru

Bernama
Julai 19, 2019 06:44 MYT
Arunandy Subramaniam ketika ditemu bual mengenai pengalaman mendidik Yang di-Pertuan Agong ketika Baginda menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas Kuantan pada 1970 hingga 1974 baru-baru ini. --fotoBERNAMA
Sesekali, Arunandy Subramaniam, 69, dilihat menggosok kedua-dua lengannya, mengakui dirinya berasa 'goosebumps' atau meremang setiap kali bercerita tentang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Setiap kali tengok Tuanku, saya rasa nak menangis. Saya rasa bangga dan bertuah kerana dapat mendidik seorang raja yang baik," itulah ungkapan pertama bekas guru Matematik dan jurulatih hoki Seri Paduka apabila ditanya mengenai anak muridnya yang kini bergelar seorang ketua utama negara.
BACA: Istiadat Pertabalan Agong ke-16 mempunyai signifikan tersendiri
Mengimbas detik 49 tahun lepas kepada Bernama, Arunandy berkata masih segar dalam ingatannya sifat Sultan Abdullah yang merupakan seorang pelajar berbudi bahasa, rendah diri dan menghormati orang lain hingga membuatkan orang sekeliling tidak merasai kewujudan 'tembok' protokol atau perbezaan darjat, walaupun Seri Paduka pada ketika itu adalah pewaris takhta Sultan Pahang.
"Tuanku hormat guru dan rakan-rakannya. Apa orang lain buat, Tuanku akan buat... Tuanku tak biarkan orang lain buat untuk dirinya. Tuanku adalah ketua kelas ketika itu (ketika Seri Paduka di Tingkatan Satu).
"Pada masa itu, Tuanku menulis nama pelajar-pelajar yang bising, apabila Tuanku melihat saya, Tuanku memadam nama yang tertulis pada papan hitam dan apabila saya tanya kenapa ia dipadam, Tuanku memberitahu saya, tiada siapa yang patut dihukum hanya kerana bercakap," katanya dalam temu bual sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam, menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, pada 15 Jan dan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Jan lepas.
Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas.
Sepanjang temu bual satu jam itu, nada suara, bahasa tubuh dan reaksi wajah Arunandy cukup jelas mengambarkan perasaan gembira, bangga dan teruja mengenangkan pengalaman mendidik Sultan Abdullah ketika Seri Paduka menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas yang dahulunya dikenali Sekolah Menengah Saint Thomas, Kuantan, Pahang pada 1970 hingga 1974.
Selain berkhidmat sebagai guru, Arunandy berkhidmat sebagai guru tuisyen Sultan Abdullah di Istana Teluk Sisih pada tahun sama. Arunandy, yang bersara wajib pada 2006, kini bertugas sebagai guru pendidikan jasmani secara kontrak di sebuah sekolah antarabangsa di Bukit Damansara sejak 2016.
Pada usianya yang hampir mencecah tujuh dekad, Arunandy berasa bertuah kerana mempunyai bekas anak murid yang masih menjaga hubungan akrab dengan guru walaupun kini merupakan seorang ketua utama negara.
"Sehingga hari ini, Tuanku rajin bertanya khabar saya melalui WhatsApps. Baru-baru ini, Tuanku buat kejutan berkenan berangkat ke acara sukan tahunan sekolah saya.
"Tiada protokol, hanya Tuanku... Tuanku datang dan bertemu semua orang... bergurau dan ketawa dengan ibu bapa, pelajar dan guru, pada masa sama bertanya khabar keadaan mereka. Tuanku ialah seorang raja yang dekat di hati rakyat.
"Saya fikir, lepas Tuanku tamat belajar dan naik takhta, Tuanku akan berubah namun telahan saya salah, Tuanku masih seorang yang merendah diri seperti pelajar berumur 13 tahun yang saya ajar dulu," katanya.
Bercerita tentang sisi lain Sultan Abdullah yang dari kaca mata Arunandy kelihatan agak pendiam dalam kelas, Sultan Abdullah sebenarnya tidak pernah gagal mencuri tumpuan rakan dan guru dengan aksi lincahnya ketika di padang. Seri Paduka disifatkan sebagai seorang yang mudah mahir dalam setiap sukan yang diceburi.
"Tuanku ni cepat tangkap (mahir)... Tuanku boleh main pelbagai jenis sukan. Bagi sahaja apa sukan, sekali dua cuba... Tuanku terus boleh main.
"Kalau Tuanku bukan kerabat (keluarga Sultan Pahang), mungkin sekarang ini Tuanku dah jadi atlet dan wakil Malaysia dalam macam-macam sukan," kata bapa kepada dua anak perempuan itu.
Arunandy berkata ketangkasan Sultan Abdullah meletakkan Seri Paduka sentiasa di barisan hadapan sebagai pemain penyerang dalam kedua-dua pasukan hoki dan bola sepak sekolah.
"Setiap hari datang ke sekolah, Tuanku wajib akan bawa bola dan bermain sebelum balik sekolah. Saya tak pasti sama ada Tuanku sengaja minta pemandu datang lewat... supaya dia boleh bermain bola," katanya berseloroh mengimbas telatah anak muridnya yang amat meminati bola sepak.
Arunandy berkata setiap kali selepas habis tuisyen, Sultan Abdullah akan mengajaknya bermain ping pong malah ada ketika beliau diberi kepercayaan oleh Almarhum Paduka Ayahanda untuk menemani Seri Paduka menonton wayang dan melakukan aktiviti rekreasi luar seperti berkhemah.
Jurulatih hoki itu berkata beliau turut mendapat layanan istimewa apabila petugas istana dititahkan untuk mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah selepas selesai tugasannya.
Arunandy, yang terlepas mengikuti siaran langsung semasa Sultan Abdullah mengangkat sumpah jawatan pada 31 Jan lepas, berkata beliau akan memastikan menyaksikan siaran Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini.
"Sebelum ini, saya terlepas peluang menyaksikan upacara itu, namun kali ni (untuk Istiadat Pertabalan pada 30 Julai) saya akan pastikan untuk berada di depan televisyen. Saya tidak akan melepaskan peluang menyaksikan acara bersejarah itu," katanya.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah #Arunandy Subramaniam #bekas anak murid #guru #guru sukan #protokol #Yang di-Pertuan Agong
;