Satu mayat ditemui sewaktu operasi SAR mencari remaja hilang Nora Anne Quoirin
Hilmi Malik
Ogos 13, 2019 16:44 MYT
Ogos 13, 2019 16:44 MYT
Polis mengesahkan pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu telah menemui satu mayat di lokasi pencarian.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihak polis menerima panggilan sekitar 1.57 petang tadi dari seorang individu yang menemui satu mayat di lokasi kira-kira dua kilometer dari lokasi remaja berkenaan dilaporkan hilang.
Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi berkenaan sebelum mendapati terdapat satu mayat perempuan berkulit putih dalam keadaan sempurna.
Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini pihak polis masih belum mengesahkan sama ada mayat berkenaan adalah milik remaja warga Ireland itu atau sebaliknya.
Berikutan lokasinya yang jauh ke dalam kawasan hutan, pasukan forensik diperlukan untuk mengenal pasti mayat adalah seorang lelaki atau wanita.
Keluarga remaja perempuan itu pada Isnin menawarkan ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya membawa pulang anak mereka.
Ibu mangsa, Maebh Jaseprin Quoirin berkata, ganjaran berkenaan sebagai usaha membantu pasukan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mengesan remaja berkenaan.
Terdahulu, dalam kejadian pada 4 Ogos lalu, Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu, sebelum Nora Anne dilaporkan hilang.
Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di resort berkenaan oleh keluarganya pada pukul 8 pagi sebelum operasi SAR dilancarkan.
#hilang
#ketua polis negeri sembilan
#mangsa
#mayat
#Mohamad Mat Yusop
#Negeri Sembilan
#Nora Anne Quoirin
#polis
#wanita