Satu maut, lima parah kemalangan melibatkan dua kereta bertembung

Adie Sufian Zulkefli
Jun 13, 2020 19:42 MYT
Kemalangan yang melibatkan dua kenderaan iaitu kereta Proton Iswara dan Proton Iriz bertembung di bahagian hadapan mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi cedera parah. - Gambar ihsan BOMBA.
Seorang maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta bertembung di Kampung Titi Batu, Batu 18, dekat sini hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.23 petang.

Katanya, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Proton Iswara dan Proton Iriz yang bertembung di bahagian hadapan.

Mohamadul Ehsan berkata, ekoran perlanggaran itu pemandu kereta Proton Iriz berusia 31 tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Sementara penumpang di sebelah pemandu Proton Iriz berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk.

Manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara pula yang berusia 19 hingga 21 turut parah di kaki dan tangan akibat tersepit.

Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan alatan khas untuk memotong besi sebelum kesemua mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan.

Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

#Hospital Sultan Abdul Halim #Kedah #kemalangan #lima parah #Proton Iriz #Proton Iswara #satu maut #Yan
;