Satu maut, kemalangan lori tangki dan van kawalan keselamatan bawa wang tunai
Aida Aziz
Mei 27, 2020 15:32 MYT
Mei 27, 2020 15:32 MYT
Seorang lelaki dipercayai pengawal maut selepas van kawalan keselamatan membawa wang tunai terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada tengah hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan kejadian kemalangan jam 12.30 tengah hari di Kilometer 389.5 PLUS arah utara di Tanjung Malim ke Behrang itu.
Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad memaklumkan, kemalangan itu menyebabkan aliran trafik di kedua-dua arah mengalami kesesakan sejauh dua kilometer.
"Semua laluan arah utara dan selatan terhalang kerana lori tangki itu terbabas ke laluan bertentangan dan berada dalam keadaan melintang.
"Berikutan itu, kenderaan ke utara dilencongkan ke Plaza Tol Tanjung Malim dan arah selatan diarah keluar di Tol Plaza Behrang," katanya ketika di sini, pada Rabu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.33 tengah hari sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi.
Jurucakap itu berkata pemandu lori tangki itu selamat manakala seorang lelaki yang menaiki van itu maut, sementara dua lagi berjaya dikeluarkan.
Difahamkan, muatan wang yang dibawa van keselamatan itu telah dibawa ke bilik kebal ibu pejabat polis daerah.