Satu maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak kuari Bandar Saujana Putra

Bernama
Januari 4, 2024 20:14 MYT
Seorang lelaki maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kawasan tapak kuari di Jalan SP2, Bandar Saujana Putra di Kuala Langat hari ini. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang lelaki maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kawasan tapak kuari di Jalan SP2, Bandar Saujana Putra di Kuala Langat hari ini.
Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dalam satu kenyataan memberitahu dalam kejadian yang sama, seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.
Beliau berkata pihaknya terdahulu menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.32 petang dan sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang bergegas dan tiba di lokasi kejadian pada 4.54 petang.
Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku tanah runtuh di kawasan kuari dengan kedalaman 1.2 meter.
"Terdapat dua orang mangsa dipercayai lelaki (berusia) 30-an yang tertimbus dengan seorang telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai," katanya.
Beliau berkata mangsa kedua yang tertimbus berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba pada 6.42 petang dan disyaki telah meninggal dunia.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #tapak kuari #Bandar Saujana Putra #Kuala Langat
;