Satu malapetaka apabila rakyat tidak lagi percaya kepada institusi - Fahmi Fadzil

Israr Khalid
Januari 7, 2022 10:09 MYT
Rakyat kini sudah semakin tidak peduli akan segala usaha kerajaan dan ini dilihat Fahmi satu keadaan yang membimbangkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Segala sistem di negara ini perlu diperbaiki dan para pemimpin perlu kembali memahami fungsi mereka supaya kepercayaan rakyat terhadap institusi dan semangat demokrasi dapat dikembalikan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, ketika ini kekecewaan rakyat terserlah dan sekiranya keadaan tidak diperbaiki, ia akan menjadi satu malapetaka besar kepada negara.
Pertama, katanya, karenah birokasi perlu diperbetulkan, kerana ia diibaratkan satu penyakit yang sekian lama wujud dalam sistem kerajaan.
Perkara ini, kata Fahmi, akhirnya diperlihatkan kepada seluruh negara tatkala banjir besar melanda negara tempoh hari.
“Bagi saya, sama ada hendak rombak kabinet, atau bagi markah prestasi, kad laporan dan sebagainya, rakyat tak kisah semua itu. Ini sebenarnya menjadi satu malapetaka kepada demokrasi kita.
“Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Kalau kita tak amalkan demokrasi, kalau kita tak faham hubung kait antara pembayar cukai dan mereka yang dipilih untuk mewakili rakyat dan tugas serta fungsi masing-masing, akhirnya nanti kitalah yang akan terima bala bencana.
“Bencana itu bukan sahaja banjir. Dan banjir itu adalah satu manifestasi kepada kegagalan sistem yang semakin merosot,” kata Fahmi.
Tambahnya, ketidakpedulian rakyat terhadap institusi semakin terlihat berdasarkan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak baru-baru ini.
Tegas Fahmi, kegagalan kepimpinan negara dalam menguruskan bencana dan segala isu sekitarnya seperti perparitan dan saliran, perancangan bandar, perhutanan tidak boleh diletakkan pada bahu seorang dua menteri sahaja.
Ini adalah kegagalan seluruh kabinet, katanya.
Tonton temu bual bersama beliau dalam program Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Luqman Hariz, di sini:
Satu malapetaka apabila rakyat tidak lagi percaya kepada institusi - Fahmi Fadzil
Dialog Tiga Penjuru | Gugurkan Menteri Prestasi Buruk
#Dialog Tiga Penjuru #Fahmi Fadzil #rakyat tidak peduli usaha kerajaan #karenah birokasi
;