Satu lagi sekolah di Terengganu ditutup selepas pelajar positif COVID-19

Nur Fazlizai Ali
Oktober 8, 2020 05:54 MYT
Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail ditutup sementara susulan seorang pelajarnya didapati positif COVID-19. -Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Sebuah lagi sekolah di Terengganu ditutup selepas seorang pelajar disahkan positif COVID-19.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani ketika dihubungi Astro AWANI berkata sekolah yang terletak di daerah Dungun itu ditutup selama lapan hari bermula Khamis hingga 15 Oktober.
Beliau berkata penutupan sekolah tersebut adalah bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja membasmi kuman dijalankan.
Penutupan Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail itu menyaksikan sebanyak empat buah sekolah telah ditutup di negeri ini sejak Jumaat.
Terdahulu sebanyak tiga buah sekolah di daerah Kuala Nerus ditutup sementara disusuli Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Pada Selasa, bangunan pentadbiran kerajaan negeri, Wisma Darul Iman ditutup selama tiga hari hingga Khamis, manakala Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu turut mengambil tindakan yang sama bermula Rabu.
#sekolah ditutup #Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail #koronavirus #COVID-19 #Salim Ab Ghani #Universiti Sultan Zainal Abidin #UniSZA #wisma darul iman
;