Satu lagi PPS dibuka di Hilir Perak, mangsa banjir 471 orang

Aida Aziz
November 8, 2023 06:00 MYT
Penambahan satu lagi PPS di Hilir Perak menjadikan seramai 471 orang ditempatkan di lima PPS di Perak, setakat jam 8 malam tadi. - Foto APM Perak
IPOH: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Chikus, Hilir Perak malam tadi, menjadikan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 471 orang daripada 145 keluarga.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah berkata, seramai 13 orang daripada enam keluarga ditempatkan di PPS tersebut, susulan bencana banjir berlaku di Kampung Baru Ayer Hitam dan Batu 9 Simpang 3.
Beliau menambah, jumlah keluarga dan mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Dewan MPTI Langkap, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu kekal.
"Penambahan satu lagi PPS di Hilir Perak menjadikan seramai 471 orang ditempatkan di lima PPS.
"Sehingga jam 8 malam pada Rabu, seramai 317 orang daripada 102 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Hilir Perak.
"Manakala seramai 154 orang daripada 43 keluarga ditempatkan di dua PPS di Kerian," katanya malam tadi.
BACA: Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak semakin meningkat
Jelasnya, daripada jumlah keseluruhan itu, Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 162 orang daripada 50 keluarga, Dewan MPTI Langkap, 142 orang daripada 46 keluarga.
Manakala, di PPS SK Changkat Lobak terdapat 97 orang daripada 24 keluarga yang berlindung dan SK Alor Pongsu, 57 orang daripada 19 keluarga.
#PPS #banjir #mangsa #Dewan Serbaguna Chikus
;