Satu lagi PPS baru dibuka di Perak, mangsa banjir meningkat

Abd Razak Mohd Ali
November 24, 2020 08:52 MYT
Ketika ini, 100 mangsa daripada 24 keluarga berlindung di SK Lobak, 39 daripada 11 keluarga di SRAR Ngah Ibrahim dan 168 daripada 68 keluarga di SK Parit Haji Aman. - Foto JBPM Perak
IPOH: Satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Perak malam tadi, sekali gus menyaksikan bilangan mangsa banjir meningkat kepada 354 orang daripada 113 keluarga, setakat jam 7 pagi ini.
PPS itu ialah Dewan Bandaran MPTI Teluk Intan yang dibuka pada jam 11.40 malam, susulan banjir yang melanda Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, PPS itu menempatkan 17 mangsa dari empat keluarga.
Dengan tambahan itu, bilangan PPS di Perak meningkat kepada lima.
BACA: Amaran cuaca buruk, waspada di negeri-negeri Semenanjung
BACA: Kawasan pantai barat Semenanjung diramal terima hujan lebat
Terdahulu, empat PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayan di Manjung; SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman di Parit Buntar serta Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim di Matang.
“SK Kayan yang dibuka jam 9.30 pagi semalam menempatkan 30 mangsa daripada enam keluarga apabila Kampung Ulu Kayan dinaiki air,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Menurut jurucakap itu, seramai 100 mangsa banjir daripada 24 keluarga berlindung di SK Lobak, 39 orang daripada 11 keluarga di SRAR Ngah Ibrahim dan 168 mangsa daripada 68 keluarga di SK Parit Haji Aman.
#pusat pemindahan #mangsa banjir #PPS #Perak #Teluk Intan #Dewan Bandaran MPTI #JBPM Perak #sekolah #SK Kayan #Kampung Ulu Kayan #SRAR Ngah Ibrahim #matang #parit buntar
;