Mayat mangsa bot karam di Sungai Golok pada Sabtu lalu, Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10 tahun telah dijumpai sekitar jam 9.30 pagi tadi di sekitar tiga kilometer daripada lokasi kejadian bot karam.

Wan Nurdina Nadia merupakan anak sulung Allahyarham Rosmiwati Zakaria, 37 yang turut terkorban dalam insiden itu.

Mayat Rosmiwati telah ditemui pada jam 5.45 petang hari Sabtu kira-kira 100 meter dari tempat insiden yang malang itu menimpa.

Walau bagaimanapun, seorang lagi anak Rosmiwati, Wan Nurhabib Naufal yang berusia enam tahun yang turut hilang masih belum dapat ditemui.

Dalam kejadian pada petang Sabtu itu, sebuah bot yang sedang membawa 15 orang penumpang telah tenggelam ketika dalam perjalanan pulang dari Pasar Mundok, Thailand ke Sungai Golok.

Menurut siasatan awal, didapati bahawa bot yang tenggelam itu membawa muatan yang melebihi had yang sepatutnya.