Satu lagi lukisan dinding Zacharevic dipadam di JB

Astro Awani
Disember 20, 2013 16:08 MYT
Mural yang dipadam oleh Majlis Bandaraya Johor Baharu hari ini. -- Ernest Zacharevic/Facebook
Satu lagi karya lukisan dinding pelukis kelahiran Lithuania, Ernest Zacharevic di Jalan Pahang, Johor Bahru hari ini dipadam oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selepas tindakan sama diambil terhadap satu lukisan lain di Taman Molek dekat sini, kira-kira sebulan yang lalu.
Lukisan kedua ini dihasilkan pada Selasa lepas dan hanya bertahan selama tiga hari.
Lukisan itu memaparkan watak ibu dan anak daripada Lego menunggang sebuah basikal dengan latar petikan kata-kata ahli falsafah Platon daripada buku The Republic.
Petikan yang diangkat ke lukisan dinding itu berbunyi: "Sincerity: Any city however small, is in fact divided by 2, one the city of the poor, the other of the rich. These are at war with one another."
(Kejujuran: Mana-mana kota, kecil sekali mana pun, pada hakikatnya terbahagia dua, sebuah kota untuk yang miskin, sebuah lagi untuk yang kaya. Kedua-duanya bertembung antara satu sama lain.)
Pegawai penguatkuasa MBJB mula membongkar basikal yang dipasang pada dinding itu lebih kurang pukul 11 pagi dan selesai kira-kira sejam kemudian. Dinding itu sepatutnya dicat semula serta merta tetapi kerja mengecat semula itu tertangguh sehingga petang ini kerana hujan. Kerja-kerja mengecat itu dijangka akan dilakukan dalam waktu terdekat.
Biarpun tidak berkenan di hati pihak berkuasa tempatan, lukisan dinding itu menarik perhatian penduduk di sekitar bandar raya ini yang datang untuk bergambar sehingga pagi tadi.
Seorang penduduk setempat yang ditemui, Abdul Aziz Azhar berpendapat lukisan dinding itu ada nilainya yang tersendiri dan menghantar mesej yang baik tetapi ia mungkin dipasang di tempat yang tidak sesuai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
"Mungkin ada daya tarikannya… (hendak) buat biar ada menarik sikit, jangan conteng-conteng, biar dielokkan lagi… tapi ikut tempatlah, jangan sembarangan macam ini," katanya.
Seorang lagi penduduk yang juga sering ke Jalan Pahang berkongsi pandangan itu.
"Saya pun angkat barang di sini, angkat barang macam mengganggulah sebab orang berhenti nak ambil gambar… takut kemalangan," kata Sadli Buang.
Jalan Pahang yang bersambung dengan Jalan Dhoby adalah jalan sehala satu lorong yang juga menempatkan deretan ruang letak kereta pada sebelah kiri jalan. Ia terletak dalam kawasan warisan Iskandar Malaysia di tengah bandar raya Johor Bahru.
Zacharic, 27, mencuri perhatian umum bulan lalu apabila lukisan dindingnya mencetuskan kemarahan pihak MBJB yang kemudian memadamkan mural berkenaan kerana melihat ia satu sindiran kepada tanggapan mengenai kadar jenayah di bandar raya itu.
Karya-karya lainnya bagaimanapun diterima di Singapura.
Sementara itu, dalam satu sidang media, Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim menegaskan tindakan MBJB memadam lukisan dinding kedua hasil karya Zacharevic itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Iklan MBJB selepas mendapat aduan daripada pemilik bangunan yang tidak selesa dengan kehadiran lukisan itu.
Katanya setiap lukisan pada bangunan di kawasan bandar raya itu mesti mendapat kelulusan permit daripada MBJB dan pelukis atau pemilik bangunan yang tidak mendapat kebenaran itu boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Ismail juga menjelaskan lukisan dinding itu memaparkan kata-kata yang berbaur sindiran sinis kepada pihak tertentu dan tidak melambangkan budaya serta kesenian timur.
"Kalau nak buat setakat orang naik basikal tidak mengapa tetapi ini ada conteng di papan dan sebagainya, tak ada memberi makna sedangkan kalau hendak dikatakan tempat kecil tidak ada orang naik basikal buat melalui Lego gambaran basikal, okay lah, boleh terima tetapi jangan ada tulisan di belakangnya yang bukan-bukan," kata Ismail.
Dalam pada itu, MBJB akan memberi ruang kepada pelukis grafiti untuk menunjukkan hasil karya mereka di bandar raya itu mulai tahun depan.
Langkah itu bagi menjadikan Taman Linear yang terletak dekat Sekolah Taman Tun Aminah di sini sebagai tempat mencurah hasil karya dan idea mereka mengikut tempoh tertentu yang akan ditetapkan.
#Ernest Zacharevic #lukisan dinding #Majlis Bandaraya Johor Bahru #MBJB #Mural
;