Satu lagi kematian akibat denggi dilaporkan

Bernama
Oktober 20, 2024 13:00 MYT
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME41 ialah 106,773 kes, berbanding 94,181 kes bagi tempoh sama pada 2023. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,624 kes pada Minggu Epidemiologi ke-41 (ME41) iaitu bagi tempoh 6 Okt hingga 12 Okt, berbanding 1,639 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya, dengan satu kematian akibat komplikasi denggi.
Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME41 ialah 106,773 kes, berbanding 94,181 kes bagi tempoh sama pada 2023.
"Terdapat 96 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 67 kematian bagi tempoh sama pada 2023," katanya.
Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME41 pula sebanyak 38 lokaliti, berbanding 35 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Dr Muhammad Radzi berkata daripada 38 lokaliti yang dilaporkan, 22 lokaliti di Selangor, Negeri Sembilan (5), Pulau Pinang (4), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2), Sabah (2) serta masing-masing satu lokaliti di Pahang, Perak dan Kelantan.
Beliau berkata bagi pengawasan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME41 dan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini ialah 80 kes.
Bagi pengawasan zika pula, beliau berkata sebanyak 2,125 sampel darah, 12 sampel urin serta tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
-- BERNAMA
#demam denggi #jumlah kematian #bilangan kes #KKM
;