Satu kluster dikesan babitkan PRN Melaka, kes indeks petugas jentera parti - Exco Negeri

Shuhada Abdul Kadir
Disember 6, 2021 19:18 MYT
Hasil siasatan dan saringan bersasar yang dilakukan terhadap 185 pelajar dan kakitangan madrasah kemudian mendapati kes indeks itu telah menjangkiti 41 pelajar serta tenaga pengajar yang lain.
AYER KEROH: Satu kluster membabitkan dua madrasah dikesan tercetus daripada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kluster terbabit adalah Kluster Pulau Gadong di daerah Melaka Tengah.
Katanya, kes dikesan apabila seorang tenaga pengajar yang positif COVID-19 bertugas sebagai jentera parti ketika kempen pilihan raya berkenaan berlangsung.
Hasil siasatan dan saringan bersasar yang dilakukan terhadap 185 pelajar dan kakitangan madrasah kemudian mendapati kes indeks itu telah menjangkiti 41 pelajar serta tenaga pengajar yang lain.
“Bermula daripada 21 Nov, 11 tenaga pengajar ni telah menujukkan simptom tetapi tenaga pengajar ini telah mengajar di dua madrasah berkenaan pada 22 dan 23 Nov, dan indeks juga telah disahkan positif berdasarkan ujian RT-PCR pada 25 Nov,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Jasin, Melaka hari ini.
Tambah Dr Muhamad Akmal, kluster berkaitan PRN itu dikesan pada 21 November lalu dan guru agama terbabit kini dikuarantin manakala madrasah tersebut ditutup sementara operasinya sehingga 18 Disember ini.
Sementara itu, katanya, dalam tempoh dua minggu ini juga kemasukan pesakit COVID-19 di semua hospital kerajaan menurun sebanyak 0.6 peratus.
Ujarnya, penggunaan katil hospital turut mencatatkan penurunan sebanyak 4.8 peratus dalam tempoh berkenaan.
Jelasnya, kadar kesembuhan dalam tempoh itu pula menunjukkan kenaikan ekoran kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan pesakit COVID-19.
Dalam pada itu katanya, tiada pengundi dikesan dijangkiti COVID-19 ketika mengundi di semua 28 pusat pengundian seluruh Melaka pada 20 November lalu.
Beliau yakin prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang PRN Melaka lalu boleh dijadikan model kepada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.
#PRN Melaka #kluster #madrasah #kluster Pulau Gadong #COVID-19 #Melaka Tengah #jentera parti
;