Satu kerugian besar jika rakyat Terengganu tolak projek ECRL

Bernama
April 5, 2018 05:26 MYT
Tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam pembinaan di Tunjong, Kota Bharu, 26 Mac, 2018. --fotoBERNAMA
Penduduk Pantai Timur akan kerugian besar jika menolak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akibat terpengaruh dengan kenyataan pemimpin pembangkang.
Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong berkata ini kerana projek itu akan membawa banyak manfaat kepada penduduk Pantai Timur khususnya bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang tidak menolak kemungkinan pakatan pembangkang akan menghentikan projek itu selepas pilihan raya umum, kerana ia dianggap satu pembaziran.
"Dah lama kita menunggu saat-saat ini dan kita percaya kerajaan telah membuat kajian yang cukup terperinci untuk projek ECRL," katanya selepas merasmikan program Menghubung Menyatu @ Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) 2018 di Dataran Shah Bandar di sini pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata dari segi ekonomi, projek itu sudah tentu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat di Besut hasil limpahan projek yang akan dilaksanakan jika ECRL diteruskan.
Beliau ditemui selepas majlis penutup persidangan antarabangsa mengenai modal insan bagi menghadapi Revolusi Industri Keempat di Kuala Nerus.
-- BERNAMA
#ECRL #ekonomi #Idris Jusoh #Kuala Nerus #Laluan Rel Pantai Timur #Mahathir Mohamad #Mohd Zubir Embong #Pantai Timur #pembangkang #pembaziran #pilihan raya umum
;