Satu jam di Perdana Putra: Anwar, Guan Eng, Mat Sabu tinggalkan PMO

Harits Asyraf Hasnan
Februari 24, 2020 11:02 MYT
Dr Mahathir tidak berada di Kompleks Perdana Putra ketika Anwar masuk ke kompleks itu pagi ini. - Gambar fail
Selepas satu jam berada di Kompleks Perdana Putra, kenderaan yang membawa pemimpin utama Pakatan Harapan meninggalkan kompleks tersebut.
Antara individu terawal meninggalkan kompleks tersebut adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu iaitu sekitar 10.18 pagi.
Ia disusuli Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan yang terakhir, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 10.26 pagi.
Mengikut rekod, kesemua mereka berada di dalam kompleks tersebut, yang menempatkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO), untuk tempoh satu jam.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berada di kompleks tersebut.
Sumber JPM memaklumkan, segala mesyuarat yang dijadual melibatkan Dr Mahathir hari ini dibatalkan.
“Semua mesyuarat dibatalkan serta jadual dikosongkan,” katanya.
#Anwar Ibrahim #Jabatan Perdana Menteri #Kompleks Perdana Putra #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #pejabat perdana menteri #Perdana Menteri #pertukaran pakatan
;