Satu gerabak 'Expres Timuran' tergelincir di Bera
Bernama
Disember 15, 2017 16:42 MYT
Disember 15, 2017 16:42 MYT
Sebuah gerabak kereta api 'Tren Expres Timuran' tergelincir semasa melalui landasan yang sedang dibaik pulih di Kilometer 80.50 berhampiran Mengkuang, Bera dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bera, Supt Mansor Samsudin berkata semua 311 penumpang termasuk empat pertugas kereta api itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian jam 3.30 pagi itu.
"Polis menerima laporan daripada pemandu bahawa satu daripada 11 gerabak kereta api itu tergelincir semasa melalui kawasan yang sedang dibaik pulih selepas bertolak dari Stesen Kemayan," katanya semasa dihubungi di sini.
Kerja-kerja mengalihkan gerabak juga dimaklumkan akan diselesaikan hari ini, tambahnya.
Mansor berkata pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga difahamkan telah membawa semua penumpang ke stesen kereta api berhampiran dengan menaiki sembilan buah bas untuk meneruskan perjalananmereka pada jam 7 pagi ini.
Tren ExpresTimuran itu bertolak dari Johor Bharu pada jam 7 petang semalam dan sepatutnya dijadualkan tiba di Tumpat, Kelantan pada jam 12 tengah hari ini. - BERNAMA
#Keretapi Tanah Melayu Berhad
#KTMB
#landasan
#Mansor Samsudin
#Melayu
#polis
#Stesen Kemayan
#tergelincir
#Tren ExpresTimuran
#Tumpat