Satu dunia tahu Malaysia 'tercemar' akibat kleptokrat - PM Anwar
Sinar Harian
Februari 8, 2023 13:32 MYT
Februari 8, 2023 13:32 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia telah tercemar akibat kleptokrat.
Menurutnya, kleptokrat merupakan sebuah sistem melibatkan ramai pihak yang telah dan belum didakwa.
"Satu dunia tahu Malaysia tercemar," katanya dalam ucapan perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini pada Rabu.
Beliau berkata, ahli politik tidak perlu melaungkan soal 'kebersihan' melainkan dapat merekodkan prestasi baik.
Meskipun sukar untuk melakukan perubahan memerangi rasuah di dalam sistem, Anwar berkata beliau tekad dan tidak mahu bertolak ansur walaupun sukar.
"Kalau kita menolak, risiko besar kerana berdepan maha kaya dan maha kuasa dengan gelaran tinggi (seperti) Datuk Seri, Tan Sri, Tun... Jadi kita bersedia," katanya.
Tegas beliau, semua badan penguatkuasaan perlu mengambil tindakan segera sekiranya mendapati wujud perlanggaran di pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan.
"Kita ambil tindakan terutama dari segi hukum berdasarkan fakta dan hukum... Bukan untuk merekayasa," katanya.
Anwar berkata, amalan dan budaya lampau meluluskan projek tanpa menepati peraturan tidak boleh lagi diteruskan.
“Sekarang ini terserah kepada ketua pengarah, ketua bahagian, pimpinan kementerian untuk memastikan hal ini tidak berlaku di semua peringkat,” katanya. - Sinar Harian