Satu daripada empat kanak-kanak dijangkiti influenza - Pakar Runding Pediatrik
Isabelle Leong
November 28, 2018 08:15 MYT
November 28, 2018 08:15 MYT
Cuti sekolah telah bermula.Anda mungkin antara ibu bapa yang membawa anak-anak berjalan dan meluangkan masa bersama.
Dengan keseronokan dan rasa tidak sabar membawa anak-anak untuk makan angin, anda mungkin lupa perkara yang paling penting iaitu memastikan kesihatan keluarga sentiasa terjaga.
Bayangkan jika ada yang sakit ketika bercuti, lebih-lebih lagi membabitkan penyakit berjangkit seperti influenza.
Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata virus influenza adalah sejenis virus yang merebak menerusi udara dan boleh menyebabkan jangkitan kuman di saluran penafasan pesakit.
"Influenza disebabkan oleh dua jenis virus influenza A dan B dan ketika ini kita sedang berhadapan dengan satu wabak kecil.
"Di Hospital Pakar KPJ Damansara, satu daripada empat kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital adalah disebabkan oleh jangkitan virus Influenza.
"Influenza boleh merebak secara titisan batuk atan bersin kita. Apabila seseorang itu dijangkiti influenza, dia boleh menjangkiti orang lain pada kadar tiga kaki daripada dirinya dan ia boleh berterusan selama lima hingga tujuh hari," katanya.
Selain kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun, golongan ibu mengandung, warga emas berusia 50 tahun ke atas, penghidap jantung dan paru-paru kronik turut mudah terdedah kepada jangkitan virus itu.
"Di antara empat jenis, yang paling berbahaya adalah influenza A(H3N2). Influenza B dan Influenza C tidak seteruk. Tetapi kesemuanya boleh menyebabkan radang paru-paru, pneumonia yang boleh membolehkan seseorang itu sukar bernafas.
"Jika kita lihat data di seluruh dunia, lebih kurang 300,000 orang meninggal dunia setiap tahun daripada jangkitan influenza. Jadi ia merupakan sesuatu jangkitan yang kita harap kita boleh atasi atau kurangkan dengan mendapatkan vaksin influenza," tambahnya.
Tambahnya, perbezaan utama antara influenza dan demam selesema biasa adalah influenza lebih serius menyebabkan pesakit menggigil, rasa lenguh di badan dan demam suhu tinggi yang berterusan selama beberapa hari.
"Selsema biasa selalunya demamnya tidak begitu tinggi. Hidungnya yang meleleh. Tetapi dengan influenza yang sebenarnya, demam dia lebih tinggi menyebabkan pesakit menggigil, pening kepala dan juga badannya lenguh.
"Keadaan ini boleh berterusan selama beberapa hari. Kalau dibandingkan dengan selsema biasa, selalunya pulih selepas tiga hingga atau empat hari," tambahnya.