Satu dari setiap enam kematian disebabkan kanser
Bernama
Julai 28, 2018 06:31 MYT
Julai 28, 2018 06:31 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa satu daripada setiap enam kematian adalah disebabkan kanser, tetapi tidak kira bagaimana kesannya, ini tidak harus mendorong kita untuk percaya bahawa kita tewas dalam usaha melawan penyakit itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata beberapa tahun sebelum ini, orang hanya bercakap tentang kemoterapi dan radioterapi bagi rawatan kanser, tetapi sekarang Malaysia telah meneroka penggunaan pelbagai modus terapi selaras dengan standard rawatan antarabangsa kepada pesakit tempatan.
Dr Lee juga berkata Kementerian Kesihatan menyokong peruntukan bagi rawatan kanser, kaedah diagnostik dan alat pemeriksaan.
"Ini termasuk menubuhkan beberapa Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) kebangsaan mengenai tppik kanser dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti mammogram, sprogram pemeriksaan sendiri payu dara dan inisiatif berhenti merokok," katanya dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Presiden Kongres Perubatan ke-52 Malaysia-Singapura (MSCM) dan Acara Gala Jade Ribbon, di sini malam tadi.
Acara MSCM itu bertemakan "Battling Cancer - What is Your Role?" merupakan kerjasama oleh tiga organisasi - Akademi Perubatan Malaysia, Kolej Pakar Perubatan dan Persatuan Onkologi Malaysia. -- Bernama